Mi-Voice MIC News

Speaker berubahlah, jangan terikut-ikut permainan pembangkang!

KUALA LUMPUR 8 Mei – Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivaraajh menasihatkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof agar tidak terikut-ikut dengan sandiwara politik yang dimainkan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Ini susulan kenyataan dikeluarkan oleh Mohamad Ariff berhubung penerimaan satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertujuan membawa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Kata Sivaraajh, Mohamad Ariff sepatutnya perlu lebih tegas terhadap ahli-ahli Parlimen yang jelas mengganggu urusan kerajaan terutamanya dalam keadaan yang sangat tidak menentu ketika ini.

“Jangan terikut-ikut dengan permainan ahli parlimen pembangkang sehingga urusan kerajaan demi kepentingan rakyat terjejas. Ini waktunya untuk kita beri keutamaan pada kepentingan nasional bukannya kepada kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Sivaraajh, Yang Di pertua Dewan Rakyat juga seharusnya mengambil kira implikasi usul tersebut dengan keadaan semasa.

“Saya pasti YB Speaker lebih tahu bahawa jika usul tersebut berjaya, Ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin) bukan sekadar boleh meletak jawatan, beliau juga boleh menasihati Yang DiPertuan Agong untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Persoalannya, adakah kita bersedia untuk mengadakan PRU sekarang ?

“Malah, jika Ahli Parlimen Pagoh berjaya membuktikan sokongan untuk kekal sebagai Perdana Menteri pun ahli-ahli parlimen pembangkang akan tetap menggunakan isu ini dari semasa ke semasa demi kepentingan politik mereka.

Perkara ini jelas. Seolah-olah sudah menjadi trend dalam kalangan ahli-ahli parlimen pembangkang untuk memainkan isu tersebut walaupun Ahli Parlimen Pagoh menubuhkan kerajaan ini secara sah dari sisi undang-undang,” katanya.

USUL UNDI TIDAK PERCAYA, TUN M JANGAN OBSES KUASA – PEMERHATI POLITIK

Dalam pada itu, Sivaraajh juga menggesa Mohamad Ariff agar jangan mengulangi kesilapan lalu yang sebelum ini pernah terikut-ikut dengan tuntutan ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) sehingga menghalau beliau keluar dari Dewan Rakyat.

Meskipun ketika itu beliau masih menjadi Ahli Parlimen Cameron Highlands yang sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kesilapan tersebut hanya diperbetulkan beberapa hari kemudian setelah Mohamad Ariff membenarkannya untuk kembali ke Dewan Rakyat.

“Jadi saya yakin sebahagian besar rakyat berharap persidangan Dewan Rakyat kali ini akan memberi keutamaan kepada agenda rakyat dan bukannya politik partisan yang tak berkesudahan.

“Oleh yang sedemikian, YB Speaker sepatutnya memberi keutamaan kepada urusan kerajaan dalam Dewan Rakyat untuk memastikan kelangsungan agenda rakyat dalam pentadbiran negara,” katanya. – MalaysiaGazette.