KUALA LUMPUR – MIC tidak akan mengambil kesempatan atas keterbukaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedia berunding jika parti itu memerlukan kerusi tambahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Timbalan presidennya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, walaupun keputusan itu dilihat satu perubahan positif namun MIC akan tetap fokus kepada kerusi tradisi yang ditandinginya sebelum ini.
“Setakat ini, kita akan bertanding sembilan kerusi (Parlimen) yang ditandingi sebelum ini. BN sedia untuk berbincang sekiranya perlu tetapi MIC tidak akan mengambil kesempatan,” katanya kepada pemberita di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, perubahan besar yang dibawa Ahmad Zahid dalam rundingan kerusi antara parti komponen BN menunjukkan hubungan MIC dan UMNO adalah rakan strategik.
“Sebelum ini kalau pengalaman saya, Pengerusi BN hanya menyatakan mereka akan pertimbangkan (manifesto dan kerusi). Ini menunjukkan hubungan di antara MIC-UMNO begitu baik dan kita lihat sebagai rakan strategik.
“Sebagai rakan strategik, kita lihat MIC dalam keadaan lebih selesa untuk membantu masyarakat India sekiranya kita dapat mandat yang cukup daripada masyarakat India,” katanya.
Ditanya mengenai pendekatan MIC untuk menarik sokongan masyarakat India, beliau menggesa pengundi agar tidak memilih secara emosi sebaliknya memangkah mengikut prestasi.
“Hari ini semua parti di dalam negara kita telah diberi peluang termasuk DAP, MUDA dan Bersatu. Rakyat boleh menilai, saya minta rakyat jangan buat keputusan emosi.
“Kita sudah lihat semua pemimpin semua parti sudah jadi menteri, kita ada pengalaman maka rakyat perlu menilai dan memilih dan yang penting kita perlukan kestabilan politik dan hanya BN boleh memberikan kestabilan politik,” katanya.
Sementara itu, Saravanan menggesa semua pihak agar menjadikan sambutan Hari Deepavali pada 24 Oktober ini sebagai hari mengeratkan hubungan antara pimpinan dan rakyat.
“Saya lihat mesti ada yang tidak berpuas hati dalam musim Deepavali diadakan pilihan raya tapi PRU-15 belum tahu lagi tarikh, sekiranya dalam musim ini, ambillah ini satu kesempatan untuk membantu rakyat khususnya golongan miskin.
“Deepavali juga boleh mengeratkan silaturrahim melalui rumah-rumah terbuka untuk berjumpa dengan semua orang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/2022/10/10/runding-kerusi-tambahan-mic-tak-ambil-kesempatan-saravanan/
Add Comment