Mi-Voice MIC News

Kepada yang cuba hancurkan MIC, tunggu lepas pilihan raya – Vigneswaran

KUALA LUMPUR – “Saya beri amaran kepada puak-puak yang banyak menabur fitnah, menghasut rakyat untuk membenci dengan niat menghancurkan MIC, anda tunggu kami menang besar kali ini. Kami tidak sesekali melepaskan kamu.”

Itu amaran keras Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pada Perhimpunan Agung ke-76 di sini hari ini.

Menurut beliau, pimpinan pembangkang dalam kalangan pemimpin India sentiasa cuba mencari salah dan memburukkan MIC kerana parti mereka tidak dapat melakukan apa-apa untuk membela nasib kaum India di negara ini.

“MIC adalah parti berteraskan kaum yang membela dan menjaga kebajikan masyarakat India. Tidak macam pemimpin India pembangkang yang sentiasa tampil melalak sepanjang waktu kononnya merekalah suara dan pembela kaum ini manakala MIC pula menipu.

“Kononnya mereka yang paling berjasa dan segala macam. Macam-macam hasutan mereka sebar kepada masyarakat kita, tetapi tidak ada apapun jasa mereka sebenarnya. Kita hendak tanya mereka, cakap besar dan lantang tetapi mengapa langsung tidak boleh selesaikan apa-apa isu?

“Bila jadi kerajaan malah ada empat menteri, apa sahaja yang di minta semuanya tidak boleh. Ketika itu tiba-tiba semuanya tidak boleh, apa pun tidak boleh. Saya rasa seperti hendak muntah tengok perangai mereka-mereka ini. Bila pemilihan parti, tidak menang. Lantikan dalam parti sendiri pun tiada. Tapi cakap (kritik) MIC.

“Sebelum parti-parti seperti DAP dan PKR ini buka mulut cakap besar, tolong selesaikan satu isu. Bolehkah anda bantu pelajar kita dapat tempat? Diam dan buat kerja kamu. Jangan cuba tuding jari pada MIC,” katanya ketika bercakap di hadapan kira-kira 3,000 perwakilan dan pemerhati di MITEC hari ini.

Sambung Vigneswaran yang juga Duta Khas ke Duta Khas ke India dan Asia Selatan, sudah tiba masa untuk setiap ahli MIC belajar menggunakan media sosial bagi menaikkan imej parti itu dan komponennya dalam Barisan Nasional (BN).

“Anda lihat pembangkang? Mereka ini jaguh dalam menyebar fitnah BN selama ini, itu sahaja kerja mereka tetapi ada kalanya hasutan mereka diterima masyarakat kerana pembangkang bijak menggunakan platform media sosial.

“Saya mohon kepada anda semua, mula gunakan media sosial tetapi bukanlah dengan mengikut jejak pembangkang. Saya mohon anda guna media sosial untuk sebar segala jasa, kebaikan, sejarah berkaitan BN selama lebih tujuh dekad ini. Biar masyarakat faham siapakah yang benar-benar berjasa.

“Setiap kita boleh memainkan peranan dalam menangkis segala pembohongan dan pendustaan serta fitnah pihak lawan kerana saya percaya usaha secara kolektif adalah lebih berkesan daripada bersendirian,” ujarnya.

Menurut Vigneswaran, semasa memerintah, Pakatan Harapan (PH) telah mengenepikan projek untuk rakyat termasuk termasuk program semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.

Menurut beliau, semasa era Najib, jumlah keseluruhan nilai bersih aset Khazanah Nasional Berhad telah naik hampir tiga setengah kali ganda daripada RM33.7 bilion kepada RM115.6 bilion.

“Tetapi malangnya banyak aset dijual, kita bukan seperti mereka yang menjual aset-aset strategik negara. Sikap mereka yang gemar menjual aset-aset negara, jelas merugikan negara tetapi setiap kali menjelangnya musim PRU, mesti pelbagai cemuhan dilakukan. Hanya itu sahaja.

“Bila Najib disabitkan kesalahan terus mereka kata beliau perasuah. Habis bila (Datuk Seri) Anwar Ibrahim masuk penjara, keluar dapat pengampunan dan tanding jadi ahli Parlimen, mereka angkat jadi hero? Mentaliti apa ini? Adakah kita percaya semua ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2022/10/10/kepada-yang-cuba-hancurkan-mic-tunggu-lepas-pilihan-raya-vigneswaran/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment