Mi-Voice MIC News

Cabar pemimpin PH Johor letak jawatan!

JOHOR BAHRU – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor dicabar supaya meletak jawatan bagi memberi laluan pilihan raya peringkat negeri diadakan supaya rakyat dapat memilih PH atau Barisan Nasional (BN) memerintah negeri itu.

Ketua Penerangan MIC Johor, S Deva berkata, langkah tersebut adalah tepat dan mandat perlu dikembalikan kepada rakyat dalam menentukan pihak mana yang menjadi pilihan serta layak menjadi kerajaan negeri.

“Jika berani sahutlah cabaran saya. Letak jawatan sebagai wakil rakyat dan kita lawan semula. Janganlah takut, malah pemimpin PH Johor sebelum ini dengan angkuhnya menyatakan kesediaan berdepan pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan PH Johor yang sebelum ini dikeluarkan secara bersama-sama melibatkan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Politik di Johor bergolak apabila Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri dalam satu kenyataan pada 27 April lalu mendakwa Perikatan Nasional Johor rapuh dan mengingatkan agar tidak meminggirkan parti lain dalam gabungan itu.

Susulan itu, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengingatkan Bersatu Johor agar tidak ‘cakap banyak’ malah berpendapat lebih baik Sultan Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana parti itu tidak ada majoriti dalam DUN.

Terdapat 56 kerusi DUN di Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (11), MIC (dua), Pas (satu), Bebas (satu) sementara Amanah (sembilan) dan PKR (empat).

Deva berkata, PH Johor perlu berhenti melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas dan lebih teruk lagi menjadi batu api dengan mengeruhkan hubungan antara pemimpin dalam Perikatan Nasional.

Mereka katanya, melemparkan pelbagai tuduhan kononnya Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad gagal dalam mewujudkan permuafakatan antara pemimpin dalam kerajaan negeri sedangkan semua pemimpin dalam gabungan itu menyatakan sokongan padu kepada Menteri Besar Johor yang baharu itu.

“Maka, tidak timbul isu sebarang permusuhan antara pemimpin dalam Perikatan Nasional. Mungkin begitulah cara mereka di dalam PH. Lebih bijak memecahbelahkan perpaduan daripada menyatukan,” katanya.

Menurutnya, semasa MIC Johor bersama-sama UMNO, MCA dan Pas sibuk menjalankan kerja-kerja kebajikan bagi meringankan beban rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat koronavirus (Covid-19), mereka terus berpolitik.

“Kami tidak henti-henti diserang pihak daripada PH yang melemparkan pelbagai fitnah dan tuduhan kepada kami semua. Kita semua sudah masak dengan propaganda politik jahat PH dan janganlah Bangsa Johor terjerat buat kali kedua,” katanya.