Mi-Voice MIC News

Pilihan raya umum lebih sesuai, kata presiden MIC

MIC berpandangan bahawa penubuhan kerajaan perpaduan tidak akan menyelesaikan situasi ketidaktentuan politik negara semasa.

Sebaliknya, kata presidennya, SA Vigneswaran isu itu hanya dapat diselesaikan melalui Pilihan Raya Umum (PRU). 

“Kemelut politik yang berlaku sekarang adalah kerana perebutan kuasa antara pemimpin Pakatan Harapan. Mereka tidak perlu tuduh yang lain kerana sikap tamak kuasa yang menjadi punca keruntuhan kerajaan.

“Namun, saya percaya keadaan semasa politik negara ini akan membentuk kerajaan perpaduan. Dan kerajaan sebegitu saya bimbang sistem semak dan seimbangan tidak akan wujud.

“Sebaliknya, membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum yang baru lebih sesuai. Biar rakyat memilih kerajaan pilihan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vigneswaran mengulas, situasi politik semasa selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang, susulan tindakan parti Bersatu menarik diri daripada gabungan itu selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatannya.

Bersatu mempunyai 26 kerusi dengan Mahathir memegang kerusi parlimen Langkawi.

Sebelum ini, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengumumkan dirinya keluar parti bersama 10 ahli parlimen yang setia kepadanya.

Ini menjadikan kerajaan PH menjadi minoriti dengan 92 ahli parlimen sahaja.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim semalam.

Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata, bagi sebuah negara paling penting adalah mempunyai dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

“Tetapi, sekiranya mereka wujudkan kerajaan perpaduan atau kerajaan uniti maka itu bermaksud tiada kerajaan dan tiada pembangkang.”

Menurutnya, pelantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim tidak sesuai untuk membuat mana-mana lantikan kerana kemungkinan ia akan dicabar di mahkamah.

“Saya anggap Yang di Pertuan Agung membuat keputusan wajar dan bijaksana dalam melantik Perdana Menteri Interim meskipun fasal tersebut tiada dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Nasib baik kita ada institusi Raja-raja Melayu. Pada masa kini baru semua orang faham betapa mustahaknya kita ada institusi tersebut untuk memastikan negara kita boleh ditadbir walaupun kita ada krisis sebegini,” katanya. 

“Namun, lantikan interim ini tidak boleh berlanjutan. Dan wakil rakyat yang mempunyai sokongan majoriti di parlimen perlu menghadap Agong supaya baginda boleh melantik perdana menteri baru.

Sambil terus mendakwa bahawa pelantikan perdana menteri interim tiada dalam Perlembagaan Persekutuan, Vigneswaran juga memberitahu bahawa jawatan perdana menteri interim tidak sesuai .

“Saya percaya sebarang lantikan dan keputusan olehnya kemungkinan ada pihak akan mencabar di mahkamah.

“Kemungkinan juga akan ada orang membuat demo seperti Bersih dan mungkin akan menjejaskan perpaduan antara kaum dan juga menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/512210

About the author

TheVoice

Add Comment

Click here to post a comment