Mi-Voice MIC News

MIC bimbang kerajaan perpaduan tiada lagi semak, imbang

KUALA LUMPUR – Keadaan rumit selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak sampai dua tahun memerintah sebenar langsung tidak mengejutkan.

Ini adalah implikasi yang terpaksa dihadapi rakyat selepas meletakan kepercayaan dengan mengundi PH pada pilihan raya lalu, akhirnya seolah-olah memakan diri.

Malangnya, sehingga kini pun masih ada pihak yang cuba menunding jari kononnya UMNO dan Barisan Nasional menjadi punca PH tumbang.

Hakikatnya, kerajaan PH tumbang kerana ketiadaan persefahamaan antara satu sama lain, selain daripada agenda serta cita-cita segelintir pimpinan PH sendiri.

Itulah pandangan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran sberhubung keadaan semasa politik tanah air pada pada masa ini.

“Mengapa pula ada pihak cuba salahkan UMNO, BN atau Pas sehingga tumbangnya PH? Itu salah mereka sendiri, tiada kredibliti dalam mentadbir negara.

“Rakyat dari awal lagi sejak PH mula memerintah sudah melahirkan rasa sesal kerana mempercayai segala macam janji manifesto serta fitnah di tabur berkaitan kerajaan terdahulu ketika berkempen pada PRU-14.

“Selepas menang, janji manifesto itu tidak dapat ditunaikan kerana ianya bukanlah kitab suci yang perlu ditunaikan.

“Ada sahaja isu timbul, bergaduh sesama sendiri dalam parti atau parti gabungan lain. Tuding menuding dan isu skandal-skandal lain,” soalnya.

Dalam pada itu, Vigneswaran yang juga Yang Di-Pertua Dewan Negara merasakan krisis politik yang berlaku sekarang adalah tidak baik untuk negara.

Melihat perkembangan semasa, beliau khuatir sekiranya pihak berkenaan mewujudkan kerajaan perpaduan yang tiada kerajaan dan tiada pembangkang.

“Pelbagai spekulasi serta desas-desus. Tetapi biar saya cakap dari hati serta pengamatan saya, dalam sistem demokratik sepatutnya ada dua pihak.

“Kita perlu ada kerajaan pemerintah juga pembangkang pada masa sama.

“Melihat senario kini, saya bimbang ia tidak berkesudahan.

“Fikirkanlah, adakah dalam kerajaan perpaduan sistem semak dan imbang tidak akan wujud dalam negara kita? Ini amat membimbangkan saya,” tegasnya.

Vigneswaran juga menganggap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat keputusan wajar dan bijaksana dalam melantik Perdana Menteri Interim meskipun fasal tersebut tiada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah sebuah pelantikan interim dan tidak boleh berlanjutan dan seseorang yang mempunyai sokongan terbanyak dalam Dewan Rakyat perlu membawa perkara itu di hadapan Agong supaya baginda boleh membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri.

“Sebenarnya, ketika ini Perdana Menteri Interim ini tidak sesuai untuk membuat mana-mana lantikan kerana ia akan membuatkan keputusan tersebut boleh dicabar di mahkamah kelak,” ujarnya lagi.

Vigneswaran juga tidak menolak pandangan adalah lebih baik menyelesaikan kemelut ini melalui proses Pilihan Raya Umum.

“Beri sahaja peluang untuk rakyat membuat keputusan sewajarnya. Sebenarnya mereka bukan sahaja pengundi, sebaliknya golongan layak meluahkan pandangan mereka melalui proses demokrasi.

“Kita juga sudah mendapat gambaran Bersih akan membuat demonstrasi. Kalau perkara lain berlaku, kemungkinan akan ada orang lain yang membuat perhimpunan dan ini akan menjejaskan silaturrahim kaum.

“Jangan lupa juga, ia beri gambaran bahawa sistem demokrasi di Malaysia ini runtuh. Nasib baik kita ada institusi Raja-raja Melayu.

“Pada masa kini baru semua orang faham betapa mustahaknya kita ada institusi tersebut untuk memastikan negara kita boleh ditadbir walaupun kita ada krisis sebegini,” jelasnya lagi. -MalaysiaGazette

About the author

TheVoice

Add Comment

Click here to post a comment