MIC News

Ternyata tidak sihat dan tidak dapat berkhidmat kepada rakyat, Pemuda MIC gesa ADUN Pilah letak jawatan

SEREMBAN, Nov 27: Pergerakan Pemuda MIC  Negeri Sembilan menggesa  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu  agar meletakkan jawatan kerana beliau ternyata tidak dapat melaksanakan tanggungjawab beliau kepada masyarakat kawasan Pilah akibat keadaan kesihatan beliau.

“Apakah perlu Yang Berhormat Mohamad Nazaruddin terus memaksa diri beliau berpegang jawatan sewenang-wenangnya ketika kesihatan beliau menjadi persoalan, dan rakyat kawasan beliau pula terus terabai? Jangan pentingkan diri, berundur dan beri kuasa kepada rakyat bagi memilih wakil rakyat yang mereka yakin dapat berkhidmat dan membantu mereka,” kata Ramis Balakrishnan, Ketua Pemuda MIC Negeri Sembilan selepas memghadiri demonstrasi aman di hadapan bangunan Wisma Negeri Sembilan pagi semalam.

“Sudah terbukti ADUN Pilah berkenaan yang juga Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu gagal melaksanakan tugas-tugas sebagai wakil rakyat dan juga anggota pentadbiran negeri. Kami difahamkan Pejabat Khidmat Rakyat DUN Pilah telah ditutup dan tidak berfungsi lagi. Rakyat di DUN Pilah tidak ada hala tuju bagi menyuarakan masalah mereka.”

“Malah hari ini dikhabarkan tularnya video dalam media sosial yang memaparkan Exco Negeri Sembilan tersebut terpaksa ‘dipujuk’ oleh dua orang wanita supaya keluar dari kereta beliau di hadapan Wisma Negeri, Seremban. Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pula mengesahkan Nazaruddin berada di Wisma Negeri dan tidak dapat menyertai persidangan DUN kerana masalah kesihatan. Meskipun berdepan masalah kesihatan, Aminuddin berkata, Nazaruddin masih menjalankan kerjanya seperti biasa.”

“Kami mohon MB Negeri Sembilan agar bertindak rasional dan akur bahawa keadaan kesihatan ADUN Pilah memang tidak membenarkan beliau melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Kami gesa MB agar membenarkan  ADUN Pilah berundur dan berehat demi kepentingan rakyat,” ujar Ramis lagi. – The Sentral

POSTED BY: VASUDEVAN KRISHNASAMY NOVEMBER 27, 2019 – The Sentral