Mi-Voice MIC News

Pembekuan pengambilan pekerja asing diteruskan, penyediaan peluang kerjaya bagi warga tempatan fokus kerajaan – Saravanan

KUALA LUMPUR, Mac 20: Kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan terlalu terbuka dalam aspek pengambilan tenaga kerja asing ketika ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, ketika ini fokus kerajaan dan kementerian itu adalah menyediakan peluang pekerjaan untuk warga tempatan khususnya dalam tempoh negara masih bergelut dengan impak penularan wabak Covid-19.

Jelas beliau, buat masa ini dasar pembekuan pengambilan tenaga kerja asing dan penutupan pintu sempadan negara masih diteruskan, justeru kajian terperinci mengenai pengambilan pekerja asing untuk beberapa sektor perlu dibuat terlebih dahulu.

“Mengenai isu ini (tenaga kerja asing) kami akan mengadakan mesyuarat bersama beberapa kementerian, termasuk KDN (Kementerian Dalam Negeri) pada 29 Mac ini dan kami turut minta agensi terlibat menyediakan kertas kerja untuk diperhalusi.

“Kami tidak boleh ambil pendekatan terlalu terbuka, kajian yang mendalam perlu dibuat terlebih dahulu supaya tidak membawa keburukan (peluang pekerjaan) kepada warga tempatan,” katanya selepas menyertai operasi penguatkuasaan bersepadu di Bangsar, malam tadi.

Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata, rundingan akan dibuat dengan KDN dan Kementerian Sumber Manusia bagi mendapatkan tenaga pekerja asing susulan keperluan mendesak di sektor perladangan.

Mengenai operasi bersepadu itu, Saravanan berkata, kira-kira 70 premis perniagaan diperiksa bagi memastikan pematuhan peraturan di bawah Akta Pekerja 1995 (Akta 265) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, operasi itu dibuat bagi memastikan kebajikan pekerja dijaga khususnya dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan wabak itu.

Ini kerana lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur.

Operasi itu disertai kira-kira 200 pegawai dan anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi, termasuk Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen.

https://www.thesentral.my/2021/03/20/pembekuan-pengambilan-pekerja-asing-diteruskan-penyediaan-peluang-kerjaya-bagi-warga-tempatan-fokus-kerajaan-saravanan/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment