Mi-Voice MIC News

BN tak boleh tuntut jawatan tapi boleh terima kalau diberi – Presiden MIC

Barisan Nasional (BN) yang bersetuju menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dalam kerajaan perpaduan tidak boleh menuntut sebarang jawatan dalam kabinet yang bakal ditubuhkan, kata Presiden MIC SA Vigneswaran.
Katanya, ini selaras pendirian ‘No DAP, No Anwar’ yang masih kekal sebagai pendirian BN.

“Keputusan PAU (Perhimpunan Agung Umno) ‘No DAP, No Anwar dan No Bersatu’ masih terpakai. Keputusan Umno itu turut dipersetujui dalam mesyuarat pucuk pimpinan BN.

“Sebab itu sebelum ini BN mengambil pendirian berkecuali dan tidak menyertai kerajaan. Tapi BN mengubah pendirian untuk menyokong Anwar di bawah kerajaan perpaduan setelah akur nasihat Yang di-Pertuan Agong dan bersetuju membentuk kerajaan perpaduan dengan PH.

“Jadi, saya berpendapat bahawa BN tidak boleh tuntut sebarang jawatan dalam kabinet yang bakal ditubuhkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, kata Vigneswaran, Anwar perlu diberi kebebasan sepenuhnya untuk memilih ahli jemaah menteri termasuk dari kalangan pemimpin BN.

“Jika Anwar memilih pemimpin dari BN untuk kabinet, itu kita boleh terima. Itu yang saya cuba maksudkan dalam kenyataan saya sebelum ini,” katanya.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dalam portal Sinar Harian bahawa MIC tidak akan tuntut sebarang jawatan dalam kabinet.

Pada 24 Nov, Anwar diperkenan Agong untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-10 selepas baginda memperhalusi pandangan raja-raja Melayu yang menghadiri perbincangan khas di Istana Negara.

Keputusan PRU ke-15 pada 19 Nov lalu menyaksikan PH memenangi 82 kerusi di parlimen sedangkan jumlah yang diperlukan untuk mendapat majoriti mudah ialah 112.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, mendakwa gabungan itu mempunyai sokongan 115 ahli parlimen pada Selasa tetapi pihak istana tidak menerimanya.
Bagi mengatasi masalah tersebut, kerajaan perpaduan telah dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Di bawah pengaturan itu, Anwar akan mengetuai kerajaan perpaduan dengan BN sebagai rakan utama PH, manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), serta Parti Warisan Sabah kini sudah menyatakan sokongan pada kerajaan perpaduan.

Pada masa ini, Anwar mempunyai perjanjian dengan BN di mana pelantikan bagi jawatan kabinet, agensi kerajaan, ahli Dewan Negara dan syarikat berkaitan kerajaan perlu dipersetujui bersama oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Ini adalah sebahagian daripada perjanjian 10 perkara antara Anwar dan BN. Perjanjian ini tidak didedahkan kepada umum tetapi pemimpin PH dan BN telah mengesahkannya.

Hanya proses demokrasi

Sementara itu, Vigeneswaran yang juga bekas speaker Dewan Negara berkata bahawa tindakan Muhyiddin mencabar Anwar untuk menunjukkan majoriti adalah proses demokrasi.

“Pelantikan perdana menteri adalah kuasa mutlak Seri Paduka Baginda. Perlembagaan Persekutuan menyatakan perdana menteri adalah ‘pada pendapat’ Tuanku.

“Perkara ‘pada pendapat’ ini merupakan subjektif. Tidak sesiapa boleh menyoal kuasa Tuanku. Kita perlu menghormati keputusan Majlis Raja-Raja dan Agong.

“Saya percaya Muhyiddin tidak cabar kuasa Seri Paduka Baginda. Dia cuba minta Anwar tunjukkan sokongan kerana ia merupakan proses demokrasi.

“Sebab sokongan kepada seseorang boleh berubah, seperti apa yang berlaku kepada Muhyiddin sendiri,” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri menerusi ‘Langkah Sheraton’ disokong oleh pemimpin BN, sebelum 14 pemimpin Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin menyaksikan pengerusi PN itu digantikan oleh Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini Muhyiddin mencabar Anwar menunjukkan sokongan majoriti. Tapi, sehari kemudian Ahli Parlimen Pagoh itu akur dengan nasihat Seri Padukan Baginda.

Anwar juga telah mengumumkan bahawa parlimen akan bersidang pada 19 Dis ini dan antara agendanya adalah usul undi percaya terhadapnya.

https://m.malaysiakini.com/news/645867

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment