Mi-Voice MIC News

MIC akan bertanding di semua kerusi tradisi, terima kasih Zahid – Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan melahirkan penghargaan kepada Barisan Nasional (BN) yang telah memberikan peluang kepada parti itu bertanding pada kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.

Kata Vigneswaran, Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah membuat keputusan untuk MIC bertanding di 18 kerusi DUN dan sembilan kerusi Parlimen tradisi MIC.

“Baru-baru ini ketika pelancaran Briged Kebangsaan MIC, Datuk Seri Ahmad Zahid telah membuat pengumuman yang kita boleh bertanding di semua kerusi tradisi kita.

“Malah ketika ini juga, perbincangan sedang berjalan untuk beberapa kerusi tambahan lagi. Terima kasih kami ucapkan. Kepercayaan yang telah diberikan kepada kami oleh BN tidak akan kami sesekali sia-siakan dan akan bekerja keras untuk memastikan kesemua kerusi itu kami menangi kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpuan Agung MIC ke-76 yang turut di hadiri oleh Ahmad Zahid, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Kadir dan Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam pada itu, kata Vigneswaran berkata, satu faktor kegagalan MIC pada PRU sebelum ini ialah lambat menamakan penyelaras untuk kawasan-kawasan yang sudah dikenalpasti.

“Mengambil kira ini juga, saya telah memastikan semua kerusi- kerusi tradisi selain kerusi yang ada peluang ‘cerah’ untuk MIC menang, para penyelaras telah di lantik dan mula bekerja sejak lebih tiga tahun lepas sehinggalah sekarang.

“Apa yang penting, masyarakat perlu faham dan kenal gerak kerja kita, perkhidmatan kita yang sentiasa fokus dan berpaksikan kepada kepentingan rakyat semata-mata, bakal-bakal calon juga perlu di percayai, di terima sepenuh hati dan disenangi sentiasa.

“Calon –calon MIC juga kita ingatkan untuk kenalpasti pengundi berdaftar, menyantuni mereka secara langsung serta sekerap mungkin sejak dua tahun sebelum pembubaran Parlimen. Strategi ini penting untuk memastikan sentuhan peribadi calon kita dengan pengundi mereka.

“Sebenarnya kita hanya dapat mengenalpasti masalah rakyat di peringkat akar umbi apabila kita turun padang dan bergaul dengan mereka. Calon kita juga bekerja rapat dengan semua parti komponen supaya sokongan kuat dari seluruh jentera BN,” ujarnya. -MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2022/10/10/mic-akan-bertanding-di-semua-kerusi-tradisi-terima-kasih-zahid-vigneswaran/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment