MIC Women

KENYATAAN MEDIA ISU KERAKYATAN

  1. Wanita MIC menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi pada Jumaat lalu yang telah menolak permohonan kerajaan bagi membatalkan saman pemula satu kumpulan hak asasi manusia dan enam wanita yang berkahwin dengan warga asing berhubung kerakyatan automatik kepada bayi mereka yang lahir di luar negara.
  2. Walau bagaimanapun, kami kesal dengan tindakan Peguam Negara yang telah menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan membuat rayuan berkenaan keputusan mahkamah mengenai isu kerakyatan ini.
  3. Wanita MIC ingin tegaskan bahawa semua individu adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 14 juga menekankan kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang.
  4. Kepimpinan parti di bawah Presiden MIC, YBhg Tan Sri SA Vigneswaran dan Wanita MIC menyeru kerajaan agar menarik balik notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bagi memastikan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita warganegara Malaysia tidak berlaku di era moden ini.
  5. Sejajar dengan komitmen kerajaan dan YAB Perdana Menteri iaitu slogan KELUARGA MALAYSIA, Kerajaan Persekutuan harus bergerak menuju ke arah memberikan hak kesamarataan bagi wanita Malaysia seperti diberikan kepada kaum lelaki Malaysia. Cukup apa yang telah dilalui selama 64 tahun, tiba masa untuk mencari titik penyelesaian yang positif bagi isu ini.
  6. Sehubungan dengan konsep KELUARGA MALAYSIA, kami menyeru agar Kerajaan Persekutuan meminda Bahagian II dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perkataan “bapa” kepada “ibu bapa” serta memenuhi kehendak Cadangan Umum Jawatankuasa (Cedaw) No 34. Usaha ini juga akan selaras dengan matlamat Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan, di mana tiada diskriminasi berdasarkan gender.

Sekian.

Puan S J Usha Nandhini AMN,
Ketua Wanita MIC Kebangsaan,
Mantan Ahli Dewan Negara

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment