MIC Women

Periksa haid pelajar satu jenayah yang perlu diambil tindakan segera – Wanita MIC

KUALA LUMPUR – Tindakan pemeriksaan haid terhadap pelajar wanita di sebuah sekolah berasrama penuh disifatkan sebagai perbuatan tidak masuk akal, menjijikan selain mengundang kebimbangan pelbagai pihak.
Ketua Wanita MIC, Usha Nandhini Jayaram berkata, pihaknya cukup terganggu dengan insiden tersebut yang kini menjadi kritikan pelbagai pihak.
“Saya terkejut sama sekali ini berlaku dalam kalangan pelajar perempuan kita. Wanita MIC membantah sekeras-kerasnya tindakan pemeriksaan terhadap pelajar perempuan di beberapa sekolah, di mana mereka diarahkan untuk membuktikan secara fizikal bahawa mereka mengalami haid.
“Tindakan sedemikian ini yang dilakukan dengan alasan disiplin bukan sahaja mengganggu privasi pelajar wanita malah ia juga merupakan sebahagian gangguan seksual yang terus berlaku di sekolah atas nama pemeriksaan haid.
“Manakala tindakan meminta menunjukkan tuala wanita berdarah sebagai bukti haid itu boleh dikategorikan sebagai gejala membuli, mengaibkan serta gangguan emosi,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Usha yang merupakan mantan Ahli Dewan Negara mengulas berita yang tular di Twitter mendakwa pelajar di salah sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) diminta membuka pakaian dalam bagi menunjukkan yang mereka dalam haid semasa bulan Ramadan dan tidak boleh berpuasa.
Berikutan itu, Mara menggerakkan siasatan dalaman bagi meneliti dakwaan itu.
Kata Usha lagi, tindakan memeriksa haid ini lebih jelas merupakan satu jenayah yang harus dipandang serius oleh kesemua segenap segmen komuniti.
“Tindakan seperti ini harus diberhentikan dengan membawa pesalah tidak kira sesiapa pun guru, pengawas atau warden ke muka pengadilan.
“Ingat ya ini adalah kesalahan jenayah di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan perbuatan mengganggu kesantunan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
“Pemeriksaan haid di sekolah tidak patut berlaku kerana ia menjatuhkan maruah seseorang pelajar perempuan malah sekolah sebagai gedung pendidikan haruslah menekankan budaya dan amalan murni, pemerkasaan modal insan serta memartabatkan nilai integriti dalam diri pelajar,” katanya.
Wanita MIC juga menyokong tindakan MARA yang memberi jaminan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang salahlaku seumpama itu.
“Kita menyokong penuh tindakan YB Azizah Mohd Dun, Pengerusi MARA yang mengatakan bahawa tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku melibatkan anggota kerja MARA.
Perkara yang sama harus dilakukan di semua sekolah dan saya menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) & Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua pesalah serta memastikan sekolah sebuah tempat selamat bagi semua pelajar.
“Saya ingin menegaskan agar kerajaan terutamanya KPWKM menyegerakan perbentangan RUU Gangguan Seksual.
“RUU ini jelas akan memberikan perlindungan dan memberikan tebus rugi kepada semua pemandiri gangguan seksual,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Periksa haid pelajar satu jenayah yang perlu diambil tindakan segera – Wanita MIC

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment