Mi-Voice MIC News

Majikan ingkar SOP PKP akan diambil tindakan, tegas Menteri Sumber Manusia

PUTRAJAYA, Jun 3: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan hari ini berkata pihak majikan yang mengingkari SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan diambil tindakan tegas, termasuk arahan penutupan operasi serta kompaun maksimum RM 50,000.

“Pegawai penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung  Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah diberikan kuasa mengkompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] oleh Kementerian Kesihatan Malaysia berkuat kuasa 1 Jun 2021.”

“Langkah ini bertujuan untuk melaksanakan aktiviti penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berhubung keperluan 40% pekerja sektor swasta untuk Bekerja Dari Rumah (BDR). Mana-mana syarikat atau premis yang didapati tidak mematuhi arahan BDR yang terkini serta berlaku pelanggaran SOP akan diarahkan tutup serta merta selama tujuh (7) hari dan dikompaun maksimum RM50,000,” kata Saravanan di dalam kenyataan media beliau.

Menurut Saravanan, keputusan tersebut dibuat berikutan peningkatan ketara jumlah aduan yang diterima melalui aplikasi Working for Workers (WFW) berhubung majikan yang tidak membenarkan pekerja untuk BDR. Sejak kategori BDR ini dibuka untuk aduan pada 23 Mei lalu, sejumlah 1,121 aduan telah diterima oleh KSM sehingga 2 Jun 2021.

Bagi tempoh 3 Mei sehingga 2 Jun 2021, aplikasi WFW ini telah menerima sejumlah 1,767 aduan bagi 16 kategori lain. Daripada jumlah ini, aduan membabitkan gaji tidak dibayar dan pembayaran gaji lewat adalah sebanyak 260 kes, pembuangan kerja tanpa notis (73 kes), tiada pembayaran lebih masa dan faedah pemberhentian (68 kes) dan lain-lain.

Negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan sehingga kini adalah Selangor (580 kes), diikuti WP Kuala Lumpur (511 kes), diikuti Johor (223 kes), Pulau Pinang (134 kes) dan lain-lain.

“Saya menggesa semua majikan untuk mematuhi dan memberikan kerjasama sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan terutamanya dalam tempoh yang kritikal ini. Ini kerana usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 memerlukan sokongan semua pihak termasuk majikan dan pekerja.”

“KSM juga komited dalam memastikan hak dan kebajikan pekerja terus terpelihara di samping mengambil tindakan segera ke atas isu-isu perburuhan yang dihadapi oleh golongan pekerja. Para pekerja dinasihatkan untuk terus menyalurkan aduan dan permasalahan yang dihadapi melalui aplikasi WFW dan mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan wabak COVID-19,” ujar Saravanan lagi.

https://www.thesentral.my/2021/06/03/majikan-ingkar-sop-pkp-akan-diambil-tindakan-tegas-menteri-sumber-manusia/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment