Mi-Voice MIC News

Tiada kompromi di dalam penguatkuasaan Akta 446, tegas Menteri Sumber Manusia

SERI KEMBANGAN, Mei 28; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan hari ini menegaskan bahawa kementeriannya tidak akan berkompromi di dalam penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan tenaga kerja negara.

“Saya ingin menegaskan bahawa penguatkuasaan Akta 446 masih dilaksanakan meskipun ada dakwaan yang mengatakan saya telah menghentikan penguatkuasaan Akta 446. Saya sama sekali tidak pernah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk menangguhkan penguatkuasaan ini. Oleh itu, saya menyeru para majikan dan pekerja untuk mematuhi SOP dan peraturan dibawah Akta 446,” kata Saravanan selepas melakukan operasi mengejut ke atas Syarikat Kein Hing Industry Sdn Bhd di Seri Kembangan, Selangor sebentar tadi.

“Berdasarkan tinjauan pemeriksaan operasi penguatkuasaan Akta 446 pagi ini, saya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP oleh syarikat Kein Hing Industry Sdn Bhd. Syarikat ini wajar dijadikan contoh oleh syarikat-syarikat lain dari segi penyediaan penginapan untuk pekerja dan dari aspek pematuhan SOP,” tambah Saravanan lagi.

Akta 446 yang bermula pada 1 September 2020 menetapkan keperluan kepada para majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM). Majikan yang gagal mematuhi Akta 446 berhadapan dengan denda RM50,00 bagi setiap kesalahan.

Menurut Saravanan, kerjasama sektor swasta dan perindustrian di dalam pematuhan segala SOP dan undang-undang ketika ini amatlah signifikan bagi memutuskan rantaian Covid-19 dan memulihkan keadaan ekonomi negara.

“Saya juga menyeru semua pihak, khasnya orang ramai agar tidak alpa akan risiko penularan Covid-19. Patuhilah SOP di mana jua anda berada. Duduk di rumah dan tidak usah keluar jika tiada urusan penting. Kerajaan memerlukan kerjasama semua bagi memastikan kita semua menang. Kita Jaga Kita!” ujar Saravanan.

https://www.thesentral.my/2021/05/28/tiada-kompromi-di-dalam-penguatkuasaan-tegas-menteri-sumber-manusia/