Mi-Voice MIC News

Jangan cakap MIC gopoh, tanya Zahid dulu pasal surat sokong Anwar, Vicky cabar Puad

PETALING JAYA: Presiden MIC, SA Vigneswaran, mencabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, menyoal presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, berhubung surat sokongan untuk Yang di-Pertuan Agong melantik Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri.

Vigneswaran berkata Puad patut desak Zahid jawab perkara itu, sebelum menegur MIC jangan gopoh dalam hal kerjasama politik dengan pihak selain Barisan Nasional.

Beliau bertegas Zahid patut jawab siapa yang membuat keputusan untuk menyokong pemimpin parti lawan, seperti yang dinyatakan dalam surat itu, jika ia bukan keputusan Barisan Nasional.

“Dia (Puad) berani ke tanya presiden dia?” katanya kepada FMT.

“Tanyalah keputusan siapa? Adakah itu keputusan BN atau Umno? Kalau bukan dua-dua, habis keputusan siapa?”

Terdahulu, Puad berpesan kepada MIC jangan gopoh mencari “rakan pergantungan baharu”, selepas Vigneswaran baru-baru ini mengumumkan partinya akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Vigneswaran bagaimanapun berkata sokongan itu tertakluk kepada “perkembangan baharu” dalam BN.

“Siapa yang gopoh? Siapa yang bagi surat kepada Agong untuk menyokong Anwar?” katanya.

Vigneswaran menyanggah “macam-macam kata” terhadap MIC berhubung keputusan menyokong PN itu, mengatakan ia tiada kaitan dengan kerusi pilihan raya.

Beliau menekankan kepada FMT bahawa bukan MIC yang bermasalah ketika ini.

“Cukuplah, bagi kita ada kerusi ke tiada kerusi ke, kita tak ada masalah. Bukan mati pun. Yang bermasalah sekarang parti tunjang BN, iaitu Umno.

“Saya menggesa Puad beri nasihat kepada kepimpinan Umno saja. Perbetulkan isu dalam Umno dulu,” katanya.

Vigneswaran berkata MIC tiada masalah untuk terus menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin walaupun Umno memutuskan hubungan dengan PPBM.

“Kita bukan buat keputusan keluar BN. Jadi apa masalahnya?”

Vigneswaran menasihatkan Puad dan pemimpin Umno lain supaya berhenti menuding jari kepada MIC, kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak dan boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan dalam Barisan Nasional.

“Saya tidak mahu bergaduh dengan abang-abang dan adik-adik saya. Kalau mereka bangkitkan isu kita kena jawab. Jangan meludah ke langit kerana ia akan jatuh ke muka.”

Beliau juga mengingatkan mereka bahawa MIC adalah antara segelintir parti yang setia bersama BN walaupun gabungan itu tewas pada PRU lepas.

“Bila kita cakap kita sokong PN janganlah tuduh kita macam-macam. Sebelum ini semua sudah lari dari BN, yang tinggal kita…tapi kamu nak perkecil lagi kita.”

https://youtu.be/oxK9h0hDJfo

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/06/jangan-cakap-mic-gopoh-tanya-zahid-dulu-pasal-surat-sokong-anwar-vicky-cabar-puad/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment