Mi-Voice MIC News

DHPP PAS gagal membela nasib masyarakat, tak usah didik MIC

Merujuk kenyataan YB Senator Balasubramaniam Nachiappan, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menyatakan “Tidak perlu untuk MIC menimbulkan satu persepsi dengan menyatakan kebajikan Masyarakat India hanya terjaga dibawah kepimpinan MIC”, suka saya ingatkan kepada Balasubramaniam bahawa perkara tersebut bukanlah persepsi semata – mata namun hakikat sebenar di sebalik dinamik politik Malaysia sejak dahulu lagi.

Di Negeri Kedah, MIC tidak terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pentadbiran negeri secara umumnya mahupun dalam hal ehwal pentadbiran Masyarakat India secara khususnya. Yang menjadi wakil Masyarakat India dalam pentadbiran negeri Kedah adalah Encik Bk. Kumaresan, Ketua DHPP Negeri Kedah yang dilantik menjadi Pegawai Khas Hal Ehwal Masyarakat India kepada Menteri Besar.

Maka, DHPP yang sepatutnya bertanggung jawab untuk menyelesaikan isu – isu terkait Masyarakat India di Kedah termasuk isu perobohan kuil, peruntukan untuk rumah ibadah bukan Islam dan isu – isu lain terkait Hal Ehwal Masyarakat India. Tugas DHPP bukan sekadar untuk mengeluarkan kenyataan selepas sesebuah masalah terjadi tetapi untuk menggunakan kedudukan dalam Kerajaan Negeri sebagai wakil Masyarakat India dan menyelesaikan masalah – masalah tersebut.

Jadi berbalik kepada kenyataan YB Senator Balasubramaniam setelah mengambil kira beberapa perkembangan terkini yang disebabkan oleh kegagalan DHPP untuk menasihati Kerajaan Negeri Kedah, takkan kami hendak berkata DHPP pula merupakan satu – satunya organisasi politik yang mampu menjaga kepentingan Masyarakat India ?

Balasubramaniam perlu beringat bahawa Presiden PAS YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sentiasa menyatakan bahawa dalam soal isu – isu yang dihadapi Masyarakat India, PAS akan sentiasa berkerjasama dengan MIC untuk menyelesaikannya. Tidak keperluan untuk beliau membuat kenyataan yang bersifat menyindir seperti ini sedangkan kepimpinan MIC dan PAS mempunyai hubungan dan pemahaman yang baik.

Jika Balasubramaniam hendak mengulas tentang isu di Kedah, beliau patut berbuat sedemikian dengan penuh kewajaran. Tidak perlu untuk Balasubramaniam mengeluarkan kenyataan seolah – olah MIC yang bersalah sedangkan masalah di Kedah wujud kerana kegagalan DHPP.

Jika hendak bercakap tentang budaya politik matang pula, DHPP sepatutnya melibatkan sama kepimpinan MIC Negeri Kedah dalam sebarang perbincangan terkait Hal Ehwal Masyarakat India kerana sudah tentu sebagai parti yang pernah memerintah sebelum ini, MIC mempunyai pengalaman yang luas dan dapat turut membantu Kerajaan Negeri Kedah untuk mengenal pasti dan menyelesaikan isu – isu berkaitan.

Kenyataan YB Balasubramaniam bahawa insiden perobohan kuil bukanlah sesuatu yang baharu kerana peristiwa seperti itu juga pernah berlaku dibawah Kerajaan Barisan Nasional dan Kerajaan Pakatan Harapan juga mencerminkan ketiadaan “political will” dalam kepimpinan DHPP.

Sebagai seorang anggota Dewan Negara, Balasubramaniam perlu sedar yang kini kita berada dibawah sebuah kerajaan yang sedang mencuba sedaya upaya untuk membetulkan kesilapan kerajaan – kerajaan terdahulu termasuk soal perobohan rumah ibadah dan sebagainya.

Balasubramaniam perlu sedar bahawa MIC sebagai sebuah parti sudah bertahun menjadi kerajaan dan diberikan amanat untuk menguruskan Hal Ehwal Masyarkat India dalam Barisan Nasional mahupun Kerajaan mempunyai tanggung jawab yang jauh lebih besar berbanding dengan kumpulan yang sekadar menjadi boneka kumpulan – kumpulan tertentu.

Adalah lebih baik Balasubramaniam berhenti mengeluarkan kenyataan – kenyataan sebegini dan terus mengecewakan bukan sekadar akar umbi MIC malah keseluruhan Masyarakat India di Malaysia.

DHPP PAS gagal membela nasib masyarakat, tak usah didik MIC

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment