Mi-Voice MIC News

Syarat pengeluaran i-Sinar KWSP tidak rasional, permudahkan demi manfaat majoriti – Dato’ T. Murugiah

KUALA LUMPUR, Nov 18: Naib Presiden MIC Dato’ T. Murugiah hari ini menggesa kerajaan agar syarat-syarat pengeluaran akaun 1 di bawah skim i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipermudahkan dan kumpulan sasaran diperluaskan demi manfaat majoriti pencarum KWSP yang terkesan akibat impak ekonomi yang melanda berikutan penularan pendemik Covid-19.

“Kesediaan Kerajaan bagi membenarkan pengeluaran dari akaun 1 KWSP memang kita alu-alukan. Tetapi, pelbagai syarat dan kriteria pengeluaran yang ketat amat mengecewakan majoriti pencarum yang sekian lama telah mengharapkan khabar baik kerajaan. Skim i-Sinar bagai tidak menyeluruh, meminggirkan keperluan majoriti pencarum.”

“Kadar dan kaedah pengeluaran berteraskan jumlah simpanan akaun 1 memang cukup baik. Tetapi, syarat pengeluaran perlulah disemak kembali. Saya menerima banyak keluhan dari akar umbi, ada yang mempersoalkan jika kerajaan benar-benar prihatin dan peka terhadap keperluan mereka berikutan penetapan kriteria yang terlalu ketat,” kata Murugiah.

Menurut KWSP, pencarum yang layak membuat permohonan adalah mereka yang hilang kerja, diberi cuti tanpa gaji dan tiada sumber pendapatan, akibat penularan wabak Covid-19. Para pencarum boleh membuat permohonan pengeluaran akaun 1 bermula Disember ini, dengan pengeluaran pertama pada Januari 2020. Pemohon i-Sinar perlu menggantikan semula wang yang dikeluarkan menerusi caruman pada masa akan datang.

Bagi pencarum dengan baki RM90,000 ke bawah dalam akaun 1, mereka mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM4,000. Bagi pencarum dengan baki RM90,000 ke atas dalam akaun 1 pula, jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan adalah RM60,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM10,000.

“Kriteria KWSP tidak inklusif. Terdapat pencarum yang rezeki pendapatan mereka terjejas, tetapi tidak termasuk di bawah kategori yang disebutkan. Antara syarat tambahan yang dikenakan adalah pengeluaran i-Sinar hanya dibenarkan kepada ahli yang masih aktif (mempunyai sekurang-kurangnya 1 bulan caruman mulai Mac 2019 – Febuari 2020), serta tiada caruman dalam tempoh 2 bulan permohonan.”

“Maknanya, walaupun pencarum mempunyai jumlah simpanan secukupnya di dalam akaun 1, tetapi tiada caruman dibuat di dalam tempoh masa berkenaan di atas sebab-sebab tertentu, tidak layak memohon skim iSinar. Sungguh tidak logik dan tidak rasional,” ulas Murugiah.

“Laporan akhbar hari ini menyatakan kes bunuh diri di Malaysia makin meningkat sejak penularan Covid-19. Tekanan emosi, kekangan rumah tangga dan keluarga, bebanan hutang antara faktor yang menyebabkan keputusan tragis mereka. Asasnya, kebuntuan sumber kewangan jelas ternyata menjadi punca utama. Alangkah peritnya situasi sebegini jika mereka yang terkesan mempunyai simpanan KWSP, tetapi tidak dapat diselamatkan akibat kriteria pengeluaran yang tidak masuk akal.”

“Saya menggesa Kerajaan dan KWSP agar memastikan skim iSinar membawa manfaat kepada semua pencarum yang terkesan. Elakkan kriteria dan syarat yang tidak munasabah. Semua pencarum harus diberi akses pengeluaran iSinar, dengan kadar dan kaedah pengeluaran yang telah ditetapkan. Buktikan kerajaan benar-benar prihatin terhadap rintihan rakyat, ringankan kesengsaraan mereka dan pastikan kelangsungan kehidupan mereka,” tambah Murugiah lagi.

Syarat pengeluaran i-Sinar KWSP tidak rasional, permudahkan demi manfaat majoriti – Dato’ T. Murugiah

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment