Mi-Voice MIC News

221 majikan terima bantuan program subsidi upah telah menutup perniagaan, kata Menteri Sumber Manusia

KUALA LUMPUR, 18 Nov — Berdasarkan rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebanyak 221 majikan yang telah menerima bantuan Program Subsidi Upah (PSU) telah menutup perniagaan mereka, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata sebanyak 2,713 syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula menutup perniagaan mereka sepanjang Mac 2020 sehingga 30 Okt 2020, demikian mengikut laporan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang merekodkan jumlah mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Berhubung kemuflisan/kebankrapan individu akibat pandemik COVID-19 daripada Mac sehingga Oktober 2020, Kementerian Sumber Manusia tidak mempunyai rekod berkaitan dan ia terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Insolvensi Malaysia.

“Bagaimanapun, dalam hal ini, kerajaan telah mengambil langkah dengan menaikkan amaun keterhutangan daripada RM50,000 kepada RM100,000 untuk mengurangkan kes kebankrapan melalui Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, (Akta 829),” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) mengenai bilangan syarikat yang menerima bantuan subsidi upah dan terpaksa gulung tikar.

Charles turut bertanya mengenai jumlah penutupan perniagaan PKS dan kemuflisan individu akibat pandemik COVID-19 dan bilangan majikan yang menerima subsidi upah, tetapi tidak menyalurkan wang tersebut kepada pekerja.

Saravanan berkata, sehingga 11 Nov 2020, Perkeso telah menerima sebanyak 388 kes aduan oleh pekerja terhadap majikan yang menyalah gunakan bayaran PSU, melibatkan dana hampir RM20 juta.

Sehubungan itu, Saravanan berkata Perkeso akan menggantung pembayaran kepada majikan-majikan yang disyaki membuat tuntutan palsu sehingga siasatan ke atas aduan-aduan tersebut selesai.

Katanya, bagi menangani masalah tuntutan palsu ini, Perkeso telah mengambil tindakan ke atas sebahagian majikan yang tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Daripada aduan yang diterima, 156 kes tuntutan palsu dan salah guna dana PSU telah dikenal pasti oleh Perkeso untuk tindakan menuntut kembali bayaran daripada majikan-majikan tersebut,” katanya.

 Saravanan berkata 232 daripada 388 jumlah keseluruhan aduan adalah dalam proses kuiri bagi melengkapkan maklumat aduan untuk dikenakan tindakan yang selanjutnya.

Menurutnya, Perkeso juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan lima kes masih dalam siasatan SPRM.

Daripada jumlah itu, satu kes tangkapan telah dibuat di Kedah pada 6 Okt 2020, kata Saravanan.

Pada masa yang sama, Saravanan berkata Perkeso juga telah mengenal pasti 5,537 majikan yang telah melanggar syarat dan terma yang telah ditetapkan di mana majikan tersebut telah disenarai hitamkan antaranya disebabkan pemberhentian pekerja dan tidak membayar caruman kepada Perkeso.

“Perkeso akan meneruskan lagi perkongsian maklumat lengkap agar siasatan dapat dimulakan ke atas majikan-majikan yang gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah PSU.

“Pada masa yang sama, sebagai langkah pemantauan dan makluman, Perkeso akan memaparkan senarai majikan yang telah menerima bantuan PSU di Portal Rasmi Prihatin Perkeso untuk rujukan pekerja,” katanya.

— BERNAMA

221 majikan terima bantuan program subsidi upah telah menutup perniagaan, kata Menteri Sumber Manusia

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment