Mi-Voice MIC News

Masih tiada perbincangan pembahagian kerusi peringkat BN – Presiden MIC

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata bahawa partinya sehingga kini tidak menyertai sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi berkaitan pilihan raya akan datang.

“Sehingga kini, peringkat BN masih tiada perbincangan mengenai pembahagian kerusi.

“Tapi, saya percaya kami akan berbincang dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebagai mengulas spekulasi yang mengatakan pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata setakat ini tiada sebarang penubuhan jawatankuasa teknikal untuk mengkaji pembahagian kerusi parlimen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).null

“Setahu saya tidak ada jawatankuasa teknikal dalam gabungan PN.

“Di BN kami ada jawatankuasa teknikal. Dan seperti biasa akan bincang dalam mesyuarat BN berhubung pembahagian kerusi,” katanya.

Straits Times Singapura pada 12 Jun melaporkan bahawa pemimpin Bersatu dan Umno setuju untuk membentuk “jawatankuasa teknikal” mengenai pembahagian kerusi.

Bagaimanapun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa laporan mengenai kewujudan “jawatankuasa teknikal” tidak benar.

Untuk rekod, gabungan PN kini mempunyai Bersatu, BN, PAS, GPS dan GBS.

Bagaimanapun, kedudukan Penggerak Komuniti Negara (PKN) sebuah NGO pro-Mohamed Azmin Ali dalam PN masih tidak pasti. 

Sementara itu, Vigneswaran yang juga Speaker Dewan Negara berkata bahawa MIC akan tetap bertanding di sembilan kerusi parlimen seperti yang sedia ada sebelum ini.

“Ya, kami tetap bertanding di sembilan kerusi parlimen seperti sebelum ini,” katanya ketika ditanya adakah jumlah kerusi parlimen MIC bakal dikurangkan selepas kemasukan Bersatu dan Kem Azmin dalam gabungan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada pertukaran kerusi parlimen pada pilihan raya akan datang.

Untuk rekod, pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi parlimen Sungai Siput dan Tapah di Perak, Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja di Selangor, Port Dickson di Negeri Sembilan, Segamat, Johor dan Cameron Highlands di Pahang.

Parti itu hanya menang dua kerusi masing-masing Tapah dan Cameron Highlands sebelum kemenangan di Cameron dibatalkan.

Menurut MIC, parlimen Cameron Highlands hanya dipinjamkan kepada Umno dalam PRK pada 2019 yang dimenangi oleh Ramli Mohd Nor.