Mi-Voice MIC News

(Video) Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) bantu golongan pekerja – Datuk Seri M. Saravanan

PUTRAJAYA, Mac 26: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini menjelaskan beberapa langkah kementerian beliau melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di dalam membantu golongan pekerja yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

“Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) telah diperkenalkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia, melalui Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO (SIP). Melalui ERP bantuan kewangan segera disalurkan kepada pekerja swasta dan sambilan yang bergaji bulanan RM 4,000 ke bawah, yang telah diberi notis cuti tanpa gaji oleh majikan. Bayaran ERP sebanyak RM 600 sebulan akan dikreditkan ke dalam akaun majikan, dam majikan perlu mengkreditkannya ke akaun pekerja dalam tempoh tujuh hari selepas menerima bayaran daripada PERKESO,” kata Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau turut menjelaskan bahawa PERKESO juga menyediakan Program Penempatan Pekerjaan kepada semua pencari kerja.

“Pada masa yang sama, Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO (SIP) menyediakan bantuan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan dalam bentuk faedah kewangan sementara dan perkhidmatan pekerjaan.  Ini termasuk Elaun Mencari Pekerjaan yang dibayar kepada pencarum pada kadar menurun setiap bulan selama 6 bulan, bermula dari 80 peratus daripada gaji anggapan hingga ke 30 peratus,” tambah Datuk Seri M. Saravanan lagi.

Untuk maklumat lanjut, orang awam dinasihati bagi melayari laman web www.perkeso.gov.my untuk ERP dan eis.perkeso.gov.my untuk SIP.

https://www.thesentral.my/2020/03/26/video-program-pengekalan-pekerjaan-erp-bantu-golongan-pekerja-datuk-seri-m-saravanan/