Mi-Voice MIC News

(Video) Patuhi sepenuhnya PKP, Menteri Sumber Manusia seru majikan dan pekerja

PUTRAJAYA, Mac 27: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan hari ini menyaran semua majikan dan pekerja agar mematuhi sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan Program Pengekalan Pekerjaan di bawah dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 melalui PERKESO yang menawarkan bantuan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan dalam bentuk faedah kewangan sementara dan perkhidmatan pekerjaan.

Inisiatif Pakej Rangsangan Latihan 2020 (PRL2020) di bawah Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) pula bakal memberi manfaat kepada lebih 40,000 pekerja tempatan, selain menawarkan pelepasan kepada sub-sektor yang terkesan oleh wabak COVID-19, khususnya perhotelan, pengurusan pelancongan dan pengangkutan udara.

“Saya percaya Program Pengekalan Pekerjaan PERKESO dan Pakej Rangsangan Latihan 2020 HRDF akan sedikit sebanyak meringankan beban pihak majikan dalam tempoh yang mencabar ini. Kerajaan juga sedang memperhalusi dan meneliti rancangan-rancangan khas untuk mengurangkan beban para majikan,” kata Datuk Seri M. Saravanan di dalam pesanan video yang disiarkan oleh media perdana.

Pada masa yang sama, Datuk Seri M. Saravanan meminta para pekerja agar mematuhi langkah-langkah keselamatan yang disarankan oleh kerajaan.

“Ramai pekerja akan menerima gaji masing-masing dalam minggu ini. Oleh itu, saya ingin mengingatkan kepada semua pekerja untuk mematuhi langkah-langkah yang telah disarankan, terutamanya penjarakan sosial. Juga, jangan berpusu-pusu ke mesin ATM dan membanjiri pasaraya,” kata Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau turut mengingatkan pihak majikan untuk tidak memotong gaji pekerja atau memaksa pekerja mengambil cuti tahunan, dan majikan perlu membayar gaji penuh sepanjang tempoh PKP.

“Sememangnya ini merupakan tanggungjawab berat majikan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja terbela,” kata beliau.

Datuk Seri M. Saravanan turut meminta semua rakyat Malaysia agar bersatu dan bekerjasama bersama kerajaan di dalam membendung penularan wabak Covid-19. – The Sentral

https://www.thesentral.my/2020/03/27/video-patuhi-sepenuhnya-pkp-menteri-sumber-manusia-seru-majikan-dan-pekerja/