MIC News

Anda Ahli Parlimen hari ini hanya kerana MIC ‘meminjam’ kerusi Cameron Highlands , Ketua Penerangan MIC membidas Ramli Mohd Nor

KUALA LUMPUR, Dis 22: Ketua Penerangan MIC Kebangsaan V. Gunalan hari ini menggesa Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor agar menumpukan perhatiannya terhadap kebajikan dan keperluan rakyat yang memilihnya, bukannya berpolitik dan meminggirkan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Yang Berhormat Ramli Mohd Nor, laksanakanlah tanggungjawab anda sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands. Cukuplah menghadiri mesyuarat rahsia bersama pemimpin Pakatan Harapan dan berpusat di Putrajaya. Pelbagai isu meruncing melanda masyarakat dan kawasan Cameron Highlands kebelakangan ini, tetapi anda pula lebih gemar mengkiritik parti MIC secara melulu!”, kata Gunalan.

Ramli Mohd Nor semalam telah membidas tindakan pemimpin MIC yang mengkritik kegagalan kerajaan negeri dan pusat di dalam menangani isu 60 pekebun kecil di Kuala Terla, Cameron Highlands yang telah diarahkan untuk mengosongkan tanah pertanian yang mereka usahakan tanpa sebarang penyelesaian alternatif. Ramli turut mengkritik kesediaan parti MIC untuk bertanding kembali di Parlimen Cmaeron Highlands di dalam PRU-15, di mana beliau berkata bahawa isu calon bagi PRU-15 akan ditentukan oleh kepimpinan Barisan Nasional dan bukannya MIC.

“Ingin saya tekankan di sini bahawa kesediaan MIC bagi bertanding kembali di kerusi tradisional tersebut adalah berdasarkan persefahaman pucuk kepimpinan Barisan Nasional bahawa kerusi tersebut hanya ‘dipinjam’ bagi Pilihan Raya Kecil. Ianya telahpun dipersetujui dan dimaklumkan secara terbuka oleh kepimpinan Barisan Nasional sendiri. Apa salahnya jika MIC bersiap sedia awal-awal lagi bagi memastikan kerusi tersebut kekal bersama BN? Memang kami tidak nafi keputusan calon dan kerusi tertakluk kepada konsensus BN, tetapi menuntut kembali kerusi tradisional yang telah ‘dipinjam’ sepenggal adalah hak kami,” tegas Gunalan.

Pemimpin MIC bersama kumpulan petani yang terjejas dengan arahan pengosongan tanah

“Apakah pencapaian YB Ramli di Parlimen Cameron Highlands sejak dipilih hampir setahun sebagai wakil rakyatnya? Apakah usaha dan tindakan anda di dalam menyelesaikan isu tanah di Cameron Highlands? Sebagai wakil rakyat anda sepatutnya lebih prihatin di dalam menyantuni maslaah rakyat. Jangan lupa sokongan padu dan usaha MIC yang turut menyumbang kejayaan anda di dalam PRK. Ketepikan agenda politik anda, utamakan perkhidmatan kepada rakyat dan kawasan,” kata Gunalan lagi. – The Sentral

Sumber: https://thesentral.com/anda-ahi-parlimen-hari-ini-hanya-kerana-mic-meminjam-kerusi-cameron-highlands-ketua-penerangan-mic-membidas-ramli-mohd-nor/?fbclid=IwAR2Xn0XI1rqc34gxoRTnCY8qBbP_EF-tSP2OErXtRXshnj49hg5NF1V4nBU