MIC Youth

Tak usah meroyan kenyataan Presiden MIC terhadap RUU355, tegas Ketua Pemuda MIC

Kenyataan Media Thinalan Rajagopalu, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan

Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan menyelar tindakan segelintir pemimpin politik dan NGO, terutamanya kenyataan dari Datuk Mohan Shan dari Hindu Sangam yang mempolitikkan kenyataan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran yang telah menyatakan bahawa MIC tidak akan membantah jika Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 dibawa sekali lagi ke Parlimen oleh parti PAS. Tan Sri S. A. Vigneswaran telah turut mencabar Pakatan Harapan agar memberi laluan kepada RUU itu dibentangkan di Parlimen sekali lagi.

Pendirian Presiden MIC tersebut adalah pendirian parti yang dibuat secara rasional dan konsensus. Terdapat pelbagai kritikan dan pendapat yang bercanggah terhadap pendirian MIC tersebut, semuanya tanpa asas dan demi kepentingan politik semata-mata.

Senada dengan Presiden MIC, kami ingin menegaskan bahawa kepentingan dan hak mereka yang bukan beragama Islam sudah sedia terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga undang-undang sivil negara. Sebarang pindaan di bawah RUU355 hanya menjurus kepada Akta Syariah, melibatkan mereka yang beragama Islam.

Pindaan yang disyorkan parti PAS tersebut adalah bagi meningkatkan bidangkuasa hukuman Mahkamah Syariah berhubung kesalahan jenayah Syariah. Jika terdapat sebarang unsur RUU355 yang ‘kelabu’, ianya dapat dibincang dan diselesaikan secara konsultasi. MIC mempunyai pasukan guaman yang arif dan berpengalaman bagi menangani isu-isu ‘kelabu’, yang menjadi kerisauan rakyat bukan Islam di bawah RUU355.

Kekhuatiran yang wujud selama ini bahawa pindaan RUU355 berpotensi menggugat mereka yang bukan Islam adalah tidak munasabah dan sengaja diprovokasikan.

Sebagai rakyat Malaysia yang menghormati Perlembagaan dan sistem perundangan negara, yang menyanjungi teras-teras Rukun Negara, Pergerakan Pemuda MIC bersama dan menunjukkan solidariti Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran di dalam menyokong pindaan RUU355. – The Sentral

POSTED BY: VASUDEVAN KRISHNASAMY DECEMBER 8, 2019 , The Sentral