MIC Youth

Menteri kata akan naik, MB Perak kata takkan naik, mana benar? Pemuda MIC bantah kenaikan tarif air

IPOH, Dis 7: Pergerakan Pemuda MIC mambantah sebarang cadangan kenaikan tarif air oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang sudah pastinya akan membebankan lagi rakyat yang sudahpun teruji dengan kos kehidupan yang makin meningkat.

“Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar pada Khamis lepas telah menyatakan semua negeri telah bersetuju melaksanakan pelarasan kadar tarif air yang dijangka dilaksanakan tahun depan, dan katanya lagi kenaikan tarif air tidak akan membebankan rakyat. Apakah Dr Xavier tidak peka dan tidak arif sebarang kenaikan tarif air, biarpun sekecil mana akan mempunyai kesan langsung peningkatan harga barangan dan perkhidmatan?” soal Sri Murugan, Ahli Majlis Pusat Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan.

“Air adalah keperluan utama bukan sahaja rakyat, malah bagi sektor perindustrian, perkilangan dan perkhidmatan. Sudah pasti akan wujud ‘chain reaction’ apabila tarif air ditingkatkan. Pembekalan air kepada rakyat adalah tanggungjawab kerajaan, dan kos penyelenggaraan bekalan air sepatutnya di bawah peruntukan pengurusan dan infrastruktur di bawah Bajet negara. Janganlah cari jalan senang dengan menolak tanggungjawab kerajaan sebagai bebanan tambahan rakyat.”

“Menteri sendiri menyatakan tariff air tidak disemak sejak 20 tahun lepas. Baru lebih setahun Pakatan Harapan memerintah, hendak dinaikkan pula! Sudahlah janji-janji manifesto yang kononnya akan memakmurkan rakyat telah dicapatikan, janganlah tambah kesengsaraan rakyat jelata,” ujar Sri Murugan lagi.

“Yang anehnya, Menteri kata kenaikan tarif air dipersetujui oleh semua negeri, tetapi Menteri Besar Negeri Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula menyatakan Negeri Perak tidak bercadang menaikkan tarif air. Yang mana satu benar? Tidakkah perkara yang penting sedemikian dibincangkan dan dimuktamadkan sebelum diumumkan?”

“Memang terbukti sekali lagi terdapat kepincangan komunikasi di kalangan pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan dengan pelbagai kenyataan dan pandangan bercanggah di kalangan mereka. Itulah nilai kepimpinan mereka, biarkan! Yang pentingnya, janganlah mangsakan rakyat dengan kenaikan tarif air!” tegas Sri Murugan. – The Sentral

POSTED BY: VASUDEVAN KRISHNASAMY DECEMBER 7, 2019