Mi-Voice MIC News

Usaha Menteri Sumber Manusia memantapkan bidang tenaga kerja negara terserlah

PUTRAJAYA, Mac 10: Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah menganjurkan Majlis Sambutan 365 Hari Pencapaian Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia sejak beliau mula memegang jawatan tersebut mulai 10 Mac 2020. Usaha Saravanan memantapkan bidang tenaga kerja negara tatkala mengharungi cabaran Covid-19 terserlah melalui pelbagai inisiatif KSM.

Saravanan telah menyampaikan amanat kepada warga KSM termasuk di peringkat Jabatan dan Agensi di bawah KSM yang merangkumi enam (6) teras utama di bawah Inisiatif Sumber Manusia Nasional (NHRI).

Enam (6) teras utama tersebut adalah Aspek Pembangunan Kemahiran, Perkhidmatan Pekerjaan dan Pematuhan Aspek Perburuhan, Perhubungan Perusahaan, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Perlindungan Sosial dan Tadbir Urus. Enam (6) teras utama ini adalah merupakan inisiatif dan kolaborasi yang dilaksanakan secara kolektif di peringkat Kementerian termasuk Jabatan serta Agensi.

Antara sumbangan KSM semasa tempoh pandemik COVID-19 adalah pelaksanaan PENJANA HRDF oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), PENJANAKerjaya 1.0 dan PENJANAKerjaya 2.0 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) termasuk Program Subsidi Upah (PSU), Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan 2020) [Akta 446] mulai 1 Jun 2020 yang diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan.

Di samping itu, Ordinan Darurat Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan 2021) telah diwartakan pada 26 Februari 2021 bagi penambahbaikan pengurusan penginapan pekerja bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Fokus KSM pada tahun ini adalah menjurus kepada enam (6) aspek iaitu Integrasi Data bagi Jabatan/Agensi di Bawah Kementerian, Peningkatan Keupayaan Institusi Latihan di bawah Kementerian, Cadangan Pusat Sumber Manusia Negara (PSMN), Peningkatan Aspek Perlindungan Sosial, Peningkatan Penyelarasan bagi Usaha Upskilling dan Reskilling serta Penswastaan Pemeriksaan Jentera dan Kilang di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

https://www.thesentral.my/2021/03/09/usaha-menteri-sumber-manusia-memantapkan-bidang-tenaga-kerja-negara-terserlah/