MIC News

Selain buang air liur, Ramasamy kamu boleh buat apa? – Nyanasegaran

KUALA LUMPUR – Tindakan biasa menuding jari oleh DAP terhadap kerajaan terdahulu setiap kali berlakunya krisis bukan luar biasa kerana sudah banyak kali dilakukan dahulu.

Bagaimanapun, sikap dulu DAP yang terbawa-bawa sehingga kini  walaupun sudah menjadi kerajaan pemerintah pada hari ini sangat menjengkelkan.

Ini termasuk tindakan DAP yang menyalahkan MIC dalam isu 60 pekebun kecil yang diusir serta tidak diberikan tanah gantian di Cameron Highlands setelah arahan pengosongan serta pembersihan dikeluarkan.

Peliknya, tindakan pantas Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy tampil menuduh MIC punca di sebalik insiden ini mendapat kritikan pelbagai pihak.

Pengerusi MIC Pulau Pinang, Datuk M Nyanasegaran ketika bercakap dengan MalaysiaGazette berkata, tindakan Ramasamy ini sebenarnya bukan sahaja sungguh ‘murah’ sebaliknya tidak mempunyai asas langsung.

Kata beliau, Ramasamy sebenarnya cuba mengalihkan pandangan masyarakat India yang kini seolah-olah sudah celik dengan sikap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lepas tangan dalam pelbagai isu melanda rakyat.

“Apa masalah Ramasamy ini sebenarnya? Saya sendiri tidak faham. Sikit-sikit MIC. Hujan ribut salah MIC, bencana salah MIC. Jika boleh semuanya di letakkan atas bahu MIC. Jadi anda sebagai kerajaan buat apa, selain buang air liur?

“Secara umumnya, kita semua ketahui arahan pengosongan ini telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang pengerusinya adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy.

“Jadi Ramasamy tidak timbul soal parti mana yang mengarahkan pembersihan dan pengosongan ini sebenarnya. Walaupun Pahang di bawah BN tetapi MIC terang lagi bersuluh telah nyatakan pendirian dari awal lagi mahukan tanah alternatif sebagai gantian.

“Apabila tuntutan itu tidak berjaya diperolehi, maka kesemua pimpinan yang berjawatan dalam kerajaan negeri meletak jawatan tanda protes dan tidak mahu mengecewakan penduduk walaupun kumpulan ini hanya 60 pekebun. Jadi Ramasamy, mana salah MIC?

“Adakah kami ini lantang? Adakah kerana kami dari awal lagi walaupun sudah tidak bergelar menteri seperti DAP kini, kami masih lagi berteriak, merayu memohon agar 60 pekebun ini diberikan belas kasihan? Juga adakah kerana kami letak jawatan? Adakah itu sebabnya Ramasamy?

“Ini bukan sahaja perjuangan MIC sejak lebih 60 tahun menjadi suara keramat masyarakat India, sedangkan kamu hanya  membangkang dan bercakap kosong sahaja,” katanya.

Nyanasegaran
M. Nyanasegaran

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Ramasamy yang mendakwa pekebun-pekebun tersebut tidak mendapat apa-apa jalan penyelesaian kerana MIC.

Semalam, Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran sendiri telah mendedahkan pihaknya sudah tidak boleh bersabar dengan tindak-tanduk segelintir pemimpin DAP banyak menabur fitnah terhadap partinya.

Malah MIC sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ramasamy kerana mengeluarkan kenyataan tanpa berdasarkan fakta.

Dalam pada itu, Nyanasegaran juga menyoal apakah pula  dilakukan oleh Ramasamy serta pimpinan lain apabila sudah memegang tampuk kuasa yang diberikan oleh rakyat.

“Cukuplah dengan retorik politik kamu yang dalam DAP, seolah-olah tidak ada penghujungnya.

“Aneh sekali sewaktu 22 keluarga diusir keluar dari PPR Taman Manggis di Pulau Pinang, Ramasamy tidak boleh berteriak dan melompat seperti ini? Tetapi urusan di Pahang kamu sibuk sakan.

“Apa jadi dengan janji kamu untuk bina Sekolah Menengah Pertama di Malaysia, yang mana kerajaan negeri Pulau Pinang bersedia beri tanah. Tapi itu belum tertunai lagi. Lama jugalah kami tunggu. Tapi kamu sibuk dengan hal negeri lain.

“Kita juga tahu bagaimana pandangan Ramasamy ini langsung tidak di pandang oleh pemimpin parti mahupun dalam kerajaan PH, antaranya isu pendakwah terkenal Zakir Naik mahupun LTTE. Tiada yang mendengar, jadi untuk apa kamu bersuara sekarang serang MIC?,” soalnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan untuk Ramasamy terlebih dahulu ‘menjaga tepi kainya dulu’ sebelum sibuk dengan perihal orang lain.

“Kamu ini kadang-kadang tidak relevan langsung. Jadi cukup-cukuplah. Jangan memandai untuk mengajar MIC. Dari cakap kosong buang air liur seperti ini adalah lebih baik kamu tampil dengan bukti bahawa MIC adalah dalang kepada pengusiran serta pembersihan di Kuala Terla.

“Setakat cakap duduk depan komputer tanpa fakta mahupun bukti, adalah lebih baik kamu jaga isu-isu Pulau Pinang dulu.

“Ramai lagi masyarakat India yang perlukan perkhidmatan kamu, apa guna jadi Timbalan Ketua Menteri jika hanya mahu keluar kenyataan sahaja,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Sumber: https://malaysiagazette.com/2019/12/25/selain-buang-air-liur-ramasamy-kamu-boleh-buat-apa-nyanasegaran/

About the author

TheVoice

Add Comment

Click here to post a comment