MIC News

‘Menyesal dulu tolak MIC habis-habisan pada PRU-14’

Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (kanan) bersama bekas Presiden MIC, Tun Samy Vellu ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC di Dewan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Habuk pun tarak!

Itu realiti yang terpaksa ditanggung oleh komuniti India di negara ini mengenai janji-janji Pakatan Harapan (PH) sepanjang 18 bulan memerintah.

Janji 100 hari pemerintahan PH juga hanya omong kosong dan antara yang paling terkesan ialah masyarakat India yang ‘termakan’ dengan 25 janji khas kepada komuniti mereka.

Janji itu tidak mampu ditunaikan walaupun kabinet mempunyai empat orang menteri India yang antara tugasnya adalah menjaga kebajikan serta kepentingan masyarakat itu.

Semalam, Pengerusi Hindraf 2.0, P Uthayakumar tampil mengkritik kerajaan diterajui oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang padanya ‘cakap tidak serupa bikin’ sambil mendakwa masyarakat India ditipu.

Beliau yang  kecewa terutamanya dalam isu kewarganegaraan yang pada hakikatnya hanya memerlukan satu tandatangan sahaja daripada Perdana Menteri.

Menurut penganalisis politik, Datuk M. Periasamy ketika di hubungi oleh MalaysiaGazette hari ini mengakui apa yang didakwa oleh Uthaya Kumar semalam berkait dengan janji-janji kosong PH kepada pengundi India ada kebenarannya.

Kata beliau, bukan sahaja janji-janji PRU-14 gagal ditunaikan sebaliknya keperluan serta kebajikan komuniti yang ketiga terbesar di negara ini telah diketepikan ‘bulat-bulat’.

“Persoalan saya satu sahaja, ini bukan sahaja pertanyaan saya sebaliknya rata-rata masyarakat India di negara ini pada waktu ini, adakah semua janji termasuk apa yang termaktub dalam manifesto yang akhirnya di anggap bukan satu kitab suci dan perlu dipatuhi.

“Adakah semua janji-janji itu termasuk 25 janji khas tidak lebih daripada menang undi sahaja bagi memastikan kerajaan kini dapat memegang kuasa mutlak menakluki Putrajaya? Bohonglah kalau kini PH mahu menafikan tanggapan ini apatah lagi cuba menuding jari.

“Masyarakat kini sedar kini yang sebenarnya sejak dulu lagi memperjuangkan nasib mereka adalah MIC dan Barisan Nasional (BN) tetapi pembangkang pada masa itu yang kini sudah menjadi kerajaan bijak menyemarakan api kebencian sehingga ‘nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya.

Periasamy

Kata-kata Periasamy itu mungkin boleh dikaitkan dengan sokongan masyarakat India ketika Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC Kebangsaan baru-baru ini.

Kehadiran hampir 20,000 orang bukan sahaja pimpinan BN sebaliknya masyarakat umum menunjukkan sokongan terhadap MIC kini semakin meningkat semula.

Tambahan pula, tidak ada parti-parti dalam kerajaan PH  mengadakan rumah terbuka secara besar-besaran pada Deepavali kali ini berbanding zaman pemerintahan BN dahulu.

Ramai terkejut dengan jumlah kehadiran ramai pada majlis anjuran MIC kali ini sedangkan aura sokongan kepada parti komponen BN itu dianggap malap selepas PRU-13 lagi sehingga ada mendakwa ia zaman kegelapan kepada MIC.

Pada masa itu, masyarakat India lebih tertarik kepada pendekatan parti PKR dan Hindraf.

Bagaimanapun fenomena itu kini berubah termasuk juga gelombang sokongan kepada MCA dan ia dibuktikan dalam PRK Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini.

Malah apa sahaja kata-kata Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng seolah-olah sudah tidak lagi menarik perhatian ketika PRK yang sama.

Ini juga senario yang sama sedang berlaku kepada MIC yang kini diterajui Tan Sri SA Vigneswaran yang berterusan melakukan pelbagai agenda serta inisiatif  seolah-olah MIC masih lagi memegang tampuk kuasa.

Perjuangan untuk komuniti India masih lagi diteruskan oleh parti berkenaan.

Suara-suara serta kenyataan lantang berani yang sepatutnya dikeluarkan oleh para menteri dan pimpinan tertinggi PH tidak kedengaran sebaliknya MIC sahaja masih lagi berbunyi mengenai soal komuniti India.

Pelbagai inisiatif diperkenalkan atau lebih tepat lagi terus di sambung oleh MIC seperti hal berkaitan pendidikan dan  baru-baru ini mereka telah menyediakan lebih daripada RM154 juta membantu para pelajar India melanjutkan pendidikan dalam pelbagai bidang.

Golongan B40 juga tidak dilupakan, MIC masih lagi membuka pintunya untuk masyarakat India tampil dengan permasalahan mereka bukan sahaja di Ibu Pejabat MIC sebaliknya di pelusuk negara.

Baru-baru ini pula, Bengkel Bantuan Guaman’ dilancarkan MIC menyediakan nasihat guaman kepada golongan itu menghadapi  masalah melibatkan kes-kes bankrap, jenayah, kemalangan jalan raya, perjanjian jual beli hartanah, ansuran kenderaan, penceraian, Socso dan kes sivil.

Isu-isu berkaitan golongan muda sentiasa menjadi keutamaan Pemuda MIC Kebangsaan yang juga begitu lantang menyoal kepimpinan termasuk Menteri bagi memastikan ‘semak imbang’ itu berlaku.

Ini hanya 30 peratus daripada contoh-contoh gerak kerja MIC ketika ini.

Malah Vigneswaran juga seolah-olah mengatur langkah dengan meletakan calon-calon di semua kawasan yang diyakini berpotensi untuk menang dalam PRU-15 selain mendekatkan diri dengan akar umbi parti serta pengundi.

Seorang pembaca setia MalaysiaGazette baru-baru ini menghubungi penulis meluahkan rasa kecewa tidak terhingga bukan sahaja dengan PH sebaliknya kepimpinan dalam kalangan India sekarang.

“Masyarakat India antara yang tertinggi mengundi PH, ini kerana bukan sahaja janji yang diberikan oleh pemimpin PH sebaliknya harapan kami begitu besar sekali.

“Sebelum menang, mereka semua lain. Begitu prihatin dalam bercakap tentang kebajikan, perjuangan, pendidikan, sosio ekonomi. Malah parti seperti MIC dan BN juga dicemuh habis-habisan kononnya masyarakat India telah dikhianati.

“Malah MIC sering dilabel sebagai ‘boneka’ UMNO dan BN tetapi sebenarnya apa yang berlaku dalam PH? Bukan sahaja pemimpin India PH ini sudah hilang taring, enggan beri apa-apa ulasan mahupun menentang membuka mulut kerana jaga kedudukan masing-masing.

“Tetapi mereka juga yang sebenarnya boneka untuk segelintir pihak ‘atasan’ dalam PH. Ada juga menteri suka keluarkan kenyataan ‘bodoh’ atau sekurang-kurangnya tuding jari sahaja. Mengapa sekarang semuanya sudah jadi susah?

“Ada ke patut menteri suruh kita berhenti berharap kerja dalam sektor awam dan kerajaan sebaliknya jauh lebih baik menjadi penggunting rambut?

Apa jadi dengan tawaran-tawaran Matrikulasi? Sekolah Tamil? Isu kewarganegaraan? Belanjawan 2020? Banyak lagi sosio ekonomi hendak beri contoh berjela-jela.

“Sebenarnya, walaupun MIC ada kekurangan sekurang-kurangnya mereka ada selama puluhan tahun bersuara untuk kita sama seperti MCA untuk masyarakat Cina, bukan sahaja bersuara sebaliknya melakukan pelbagai inisiatif dan bukannya omong kosong.

“Yang ada kini, hanya bercakap dan menuding jari sahaja. Semuanya tidak boleh. Apa yang kita ada dulu juga seolah-olah sudah tidak ada lagi, suara kita semakin tenggelam. Lebih baik sokong MIC daripada pemimpin syok sendiri seperti ini,” ujarnya pemanggil yang tidak mahu dikenali itu.

Hakikatnya, seperti MCA mula mendapat sokongan selain daripada pengundi mula celik minda dan MIC juga sedang melalui fasa serupa.

By Kasthuri Jeevendran – 25 November 2019 , MalaysiaGazette