PONTIAN, Nov 12: Lebih 2000 orang pengundi muda hari ini hadir menggegarkan Tanjung Piai, mencerminkan kembalinya sokongan kaum muda terhadap Barisan Nasional di dalam Pilihan Raya Kecil yang akan berlangsung Sabtu ini.
Program Ceramah Pentas Pemuda Bangkit Kembali anjuran bersama Pemuda Barisan Nasional dan Dewan Pemuda PAS menyaksikan sambutan luar biasa pengundi muda sehingga ruang tapak ceramah tidak mencukupi sehingga mereka melimpah merentasi perkarangan tapak ceramah.
Cukuplah tertipu dengan janji manis PH
Ketua Pemuda MIC, Thinalan Rajagopalu yang memulakan ceramah kempen menggesa pengundi muda Tanjung Piai agar tidak lagi tertipu dengan janji-janji manis Pakatan Harapan yang jelas gimik dan retorik politik semata-mata.
“Apakah terjadi dengan harga petrol RM1.50 seliter? Di manakah 1 juta peluang pekerjaan baru? Kenapa tol lebuhraya masih tidak dihapuskan? Kenapa Kerajaan tidak bermaya memacu ekonomi negara? Kenapa Menteri Kewayangan Negara terus tingkatkan hutang negara?”.
“Tibalah masanya pengundi Tanjung Piai membuat keputusan penting dan bijak dengan memilih calon Barisan Nasional Datuk Seri Wee Jeck Seng. Barisan Nasional dan PAS bersatu di bawah konsep Muafakat Nasional, berjanji akan memastikan keseimbangan politik negara dan ‘check and balance’ terhadap penyelewengan dan pembohongan Pakatan Harapan,” kata Thinalan di dalam ucapan beliau.
Jangan usik Perlembagaan Negara
Ir Haji Khairil Nizam, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia di dalam ucapan beliau mengecam tindakan pemimpin PH yang sering mengusik Perlembagaan Negara.
“Janganlah memesong dan usik Perlembagaan Negara yang mampu menggugat keharmonian negara’.
“Kebelakangan ini makin wujud insiden-insiden bersifat rasis di bawah Kerajaan PH yang mampu meruntuhkan keamanan negara. Barisan Nasional dan PAS menolak sekeras-kerasnya politik perkauman. Keharmonian Dan kedaulatan negara adalah keutamaan kami. Undilah Wee Jeck Seng bagi membuktikan persefahaman Muafakat Nasional kita,” ujar Haji Khairil lagi.
Terharu dengan sokongan padu pengundi muda
Ketua Pemuda MCA , Nicole Wong satu-satunya pemimpin muda wanita jelas menarik perhatian hadirin. Beliau mengkritik Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mencadangkan akan melantik wakil DAP kaum Cina bagi menjaga keperluan masyarakat Cina Tanjung Piai jika calon PH menang.
“Adakah Guan Eng tidak percaya akan kebolehan calonnya sendiri? Adakah Haji Karmaine hanya akan menjaga pengundi Melayu? Inikah yang dikatakan Malaysia baru? Memang terbukti DAP parti rasis, pandai memainkan isu-isu perkauman bagi kepentingan politik mereka,” kata Nicole.
Ekonomi negara makin rungsing
Pentas Pemuda Bangkit Kembali diakhiri dengan ucaputama Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang membangkitkan isu kegawatan ekonomi negara akibat ketidakcekapan pentadbiran negara di bawah Pakatan Harapan.
“Aset-aset bernilai negara terus dijual oleh kerajaan dan makin banyak pinjaman berbillion yang dibuat oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Guan Eng sendiri di dalam jawapan bertulis dalam siding Parlimen kali ini menyatakan hutang negara adalah RM 800 Billion ketika ini, bukannya melebihi RM 1 Trillion seperting yang diwar-warkan selama ini. Dan jangan lupa, RM 120 Billion dari jumlah hutang itu dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam masa setahun ia memerintah Malaysia,” jelas Dr Asyraf.
“Kerjasama BN dan PAS membuktikan kami sedia mengembalikan kegemilangan Malaysia berteraskan rukun agama dan negara, inklusif bagi semua rakyat Malaysia. Cukuplah negara dibinasakan oleh Pakatan Harapan. 16 November tarikh bagi kita buktikan rakyat menolak sudah Pakatan Harapan, dan kita bersedia untuk menawan kembali Putrajaya melalui Pilihan Raya Umum, bukannya melalui pintu belakang,” ujar Dr Asyraf lagi.
Kecewa dengan Kerajaan PH
Pengundi muda yang ditemui selepas program Pentas Pemuda rata-rata berikhtiar bagi memberi peluang kepada Barisan Nasional menawan kembali Tanjung Piai.
“Kami dah muak dengan janji dan harapan palsu Kerajaan PH. Kebajikan rakyat makin diabaikan, masa depan negara makin teruji. Cukuplah kami tertipu dan tertindas,” kata mereka dengan penuh kecewa.
Calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng turut hadir pada penghujung program dan meminta para pengundi agar memberi peluang kepada beliau bagi berkhidmat kepada masyarakat Tanjung Piai berdasarkan khdimat beliau selama dua penggal selama ini
The Sentral- POSTED BY: VASUDEVAN KRISHNASAMY NOVEMBER 12, 2019