Mi-Voice MIC News

Awtar Singh dipecat MIC kerana banyak isu disiplin – Rajasekaran

KUALA LUMPUR – Dakwaan Ketua MIC Bahagian Puchong, B Awtar Singh telah dipecat kerana lantang mengkritik presiden parti tidak benar.

Sebaliknya, menurut Setiausaha Agung MIC, Datuk RT Rajasekaran, Awtar sudah berdepan dengan masalah disiplin dan sudah dipanggil pada 24 April lepas bagi membela diri kepada jawatankuasa disiplin parti itu.

Bagaimanapun, kata Rajasekaran, Awtar bukan sahaja telah mengkritik Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran sebaliknya juga menyerang pimpinan lain dalam parti tersebut.

“Awtar bukan sahaja memarahi Pengerusi MIC Selangor ketika perjumpaan Pengerusi UMNO Selangor di Putrajaya sebaliknya juga didakwa telah menghalau seorang ahli MIC ketika mesyuarat cawangan. Ini hanya sedikit sebanyak daripada aduan terhadapnya.

“Beliau juga sebelum ini telah beberapa kali menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta menteri-menteri lain. Tidak cukup dengan itu, pimpinan Barisan Nasional (BN) juga diserang.

“Presiden selalu memberi ruang kepada beliau untuk bersuara namun menggunakan medium yang betul tetapi beliau terus menyalahgunakan platform itu. Awtar juga telah banyak kali diberikan amaran dan peluang untuk bersuara dengan berhemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Rajasekaran, sepatutnya Awtar bercakap menggunakan fakta daripada terus membuat andaian sesuka hati beliau.

“Ini memang tidak betul. Akhir sekali beliau buat video mengkritik presiden kononnya beliau tidak boleh dikritik atau berdepan dengan masalah pemecatan. Selama ini pun, Presiden MIC (Tan Sri Vigneswaran) telah memberikan banyak peluang kepadanya.

“Ketika pencalonan Presiden MIC bulan lalu, Awtar tampil menyokong jadi kini mengapa keluarkan video seperti itu?

“Presiden MIC ini selalu memberi peluang kepada semua orang termasuk Awtar untuk memberi pendapat mereka untuk kebaikkan parti. Semasa mesyuarat CWC, semua ahli jawatankuasa kerja pusat boleh memberikan pendapat mereka, kali ini tindakan Awtar sudah melampau kerana itu juga berdepan pemecatan,” tegasnya.

Awtar dipecat semalam selepas didapati melanggar perlembagaan parti MIC dan dalam surat itu Vigneswaran mendedahkan Awtar telah mencemarkan imej MIC. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2024/04/21/awtar-singh-dipecat-mic-kerana-banyak-isu-disiplin-rajasekaran/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment