Mi-Voice MIC News

Dua kertas siasatan MAIKA, MIED tiada elemen kesalahan di bawah Akta SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka tiga kertas siasatan, masing-masing terhadap Maika Holdings (MAIKA) dan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) susulan dakwaan penyelewengan oleh institusi bagi membantu masyarakat India di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, berkata satu kertas siasatan mengenai MAIKA kini dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya dan dua kertas siasatan lagi sudah selesai siasatan, yang didapati tiada elemen kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Bagi MIED, satu kertas siasatan sudah dituduh dan dua kertas siasatan selesai, yang turut didapati tiada elemen kesalahan di bawah akta sama.

“Pendakwaan sudah dibuat bagi 10 kertas siasatan berkenaan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai bila kerajaan akan menjalankan audit forensik bebas terhadap MAIKA, MITRA dan MIED untuk kepentingan awam kerana tiga agensi itu didapati menyalahguna dan menyelewengkan wang rakyat.

Pada September tahun lalu, Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk melaksanakan audit forensik terhadap tiga institusi berkaitan masyarakat India itu jika gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, isu dana MITRA mendapat perhatian susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terbabit dengan penyelewengan geran peruntukannya.

MAIKA pula ditubuhkan MIC pada awal 1980-an sebagai syarikat pelaburan dengan mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 55,000 pemegang saham, kebanyakannya daripada kumpulan berpendapatan rendah, namun didakwa gagal memberikan pulangan kepada pelabur.

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment