Mi-Voice MIC News

MIC sambut baik polis tubuh unit siasat kes kematian dalam tahanan

Presiden MIC SA Vigneswaran menyambut baik pengumuman Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berhubung penubuhan unit khas polis bagi menyiasat kes kematian dalam tahanan.

Unit yang dinamakan Unit Siasatan Jenayah Siasat Kematian Tahanan (USJKT) akan mula beroperasi 1 Januari tahun depan.

“Ini adalah usaha yang sangat baik oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) memastikan kes kematian seumpama ini tidak akan berlaku.

“Jika KDN dan pihak polis menubuhkan unit ini, bermakna mereka juga ingin memastikan bahawa tiada kematian yang tidak dijangka.

“Jadi, kita mesti mengalu-alukannya daripada mendakwa pemubuhan unit ini mempunyai motif tertentu,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Hamzah, unit itu akan dianggotai 12 anggota polis dan seorang kakitangan awam dan diketuai seorang pegawai polis berpangkat superintendan.

Unit di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips) polis itu akan menumpukan aspek liabiliti jenayah, kewajipan berjaga-jaga dan pematuhan SOP, katanya lagi.

NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) menyifatkannya sebagai permulaan ke arah reformasi sistem dalam kes melibatkan kematian dalam tahanan dan berharap ia dapat menjalankan siasatan secara telus dan terbuka.

Ada juga pihak yang mempersoalkan unit itu yang sepatutnya tidak diletakkan di bawah polis sendiri agar lebih bebas.

Bagaimanapun, Vigneswaran berkata tidak wajar untuk mengkritik unit itu sebelum ia memulakan tugasnya.

“Jika ia memang tidak efektif, kemudian baru kita ambil langkah untuk menjadikannya efektif dengan mengenal pasti kelemahannya.

“Tapi untuk mendakwa unit ini tidak efektik sebelum ia dimulakan adalah sangat tidak adil,” katanya lagi.

https://m.malaysiakini.com/news/603430

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment