Mi-Voice MIC News

Mitra bayar RM6.3 juta kepada guru tadika hari ini – Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Seramai 500 guru tadika di lebih 200 buah tadika seluruh negara telah mendapat peruntukan lebih RM6.3 juta sebagai bayaran tunggakan 10 bulan mengajar sejak awal tahun ini.

Tenaga pengajar tadika swasta yang itu membuat permohonan secara dalam talian kepada Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) dan dana itu disalurkan pada hari ini, sehari seblum sambutan Deepavali.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, bantuan itu telah disalurkan kepada Persatuan Guru Tadika Zon Utara sebanyak RM2,177,700 diikuti Pertubuhan Pusa Pembangunan Kanak-Kanak Cemerlang (RM1,378,650), CHILD (RM1,846,950), Pertubuhan Tadika Swasta DLS (RM579,600) dan Malaysia Hindu Sangam MHS (RM394,800).

“Semuanya berjumlah RM6,377,700 . Bayaran telah dibuat pada hari ini kepada semua,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mitra merupakan sebuah unit khas diterajui Kementerian Perpaduan Negara yang bertanggungjawab melaksanakan program-program meningkatkan sosioekonomi dan taraf hidup masyarakat India di Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar B40.

Unit khas berkenaan menerima peruntukan sebanyak RM100 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan inklusif untuk masyarakat India di Malaysia.

Dalam pada itu, Vigneswaran mencadangkan agar dana yang dibayar sekali untuk guru-guru tadika itu diteruskan pada masa depan.

Sementara itu, Vigneswaran mengucapkan terima kasih kepada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique kerana menyalurkan dana itu seperti yang telah MIC janjikan sebelum ini.

“Kita sangat hargai segala usaha ini lagi-lagi ketika musim perayaan Deepavali ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette