Mi-Voice MIC News

Dakwaan Syed Saddiq mengenai gaji dan pencen wakil rakyat bermotifkan politik, bidas Naib Presiden MIC

KUALA LUMPUR, Sept 30: Naib Presiden MIC, Dato’ T. Murugiah hari ini menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat semalam mengenai gaji serta pencen yang diperolehi oleh Ahli Parlimen dan menteri kabinet adalah bermotifkan politik dan bertujuan menimbulkan sentimen kebencian dalam kalangan rakyat, tanpa berlandaskan asas dan fakta yang sebenar.

“Saya nak soal Syed Saddiq, jika perkara ini benar, kenapa tidak bangkitkan isu ini semasa anda menjadi Menteri Belia dan Sukan selama 22 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan? Janganlah menjadikan platform perbahasan di Dewan Rakyat bagi meraih tumpuan rakyat dengan fakta yang tidak benar dan memesong.”

“Hakikatnya dakwaan bahawa pencen seseorang Ahli Parlimen itu boleh mencapai RM 100,000 hanyalah gimik politik semata-mata. Kenyataan ini amat tidak bertanggungjawab. Sebagai bekas menteri dan juga Ahli Parlimen, beliau seharusnya peka dan arif akan skim pencen seseorang Ahli Parlimen kepada Akta 237 Undang-undang Malaysia iaitu Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 Pindaan 2015”, kata Murugiah di dalam kenyataan media beliau.

Menurut Murugiah, Akta 237 ini dengan jelas ini menjadi rujukan dan garis panduan tentang hak-hak saraan dan kelayakan pencen seorang Ahli Parlimen, termasuk anggota pentadbiran seperti Perdana Menteri dan Menteri-Menteri.

“Seksyen 11 Akta tersebut juga menyentuh mengenai asas yang diguna pakai bagi mengelakkan pergandaan gaji. Maka, saya hairan dengan matematik yang digunapakai oleh Syed Saddiq,” ujar Murugiah.

Menyentuh mengenai kadar gaji dan elaun yang diterima oleh wakil rakyat dan anggota jemaah kabinet, Murugiah berkata anadaian jumlah tersebut tinggi adalah tidak sesuai untuk pemimpin yang sentiasa menyantuni keperluan rakyat.

“Dari pengalaman saya sendiri sebagai seorang timbalan menteri, gaji dan elaun yang saya terima ketika tempoh tersebut hampir kesemuanya saya gunakan untuk rakyat yang memerlukan bantuan saya. Situasi ini bukan saya seorang sahaja yang hadapi, malah hampir kebanyakan rakan kabinet saya ketika itu.”

“Kadar gaji dan elaun yang diterima wakil rakyat menteri dan Perdana Menteri Malaysia adalah jauh lebih rendah berbanding negara jiran kita, Singapura. Saya akui Syed Saddiq seorang pemidato yang hebat, tetapi tak usahlah gunakan kemahiran tersebut bagi mengapi-apikan sentiment rakyat.”      

“Saya nasihati Syed Saddiq agar lebih bertanggungjawab serta jujur dan ikhlas dalam memperjuangkan isu yang berkait dengan kepentingan rakyat,” tambah Murugiah.

https://gerakmalaysia.com/2021/09/30/dakwaan-syed-saddiq-mengenai-gaji-dan-pencen-wakil-rakyat-bermotifkan-politik-bidas-naib-presiden-mic/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment