Mi-Voice MIC News

Kementerian Sumber Manusia komited bantu mangsa tragedi LRT – Saravanan

PUTRAJAYA, Mei 26: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini menyatakan komitmen kementerian beliau bagi menyantuni mangsa-mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya Isnin lalu melalui agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawahnya.

“Berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), PERKESO menyediakan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan ketika sedang bekerja atau semasa perjalanan pergi dan balik dari kediamaqn dan tempat kerja mereka menerusi Skim Bencana Pekerjaan. Sehubungan itu, mangsa kemalangan tren LRT terbabit yang mencarum dengan PERKESO dan disahkan mengalami kes Bencana Kerja layak menerima bantuan faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan.”

“Bagi mangsa kemalangan yang terdiri daripada Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang berdaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta 789, mereka layak memohon faedah-faedah PERKESO jika kemalangan tersebut berlaku sewaktu mereka menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri atau dalam perjalanan pergi bekerja atau balik ke rumah,” kata Saravanan melalui kenyataan media beliau sebentar tadi.

Antara manfaat yang disediakan kepada mangsa-mangsa kemalangan yang layak di bawah kedua-dua akta tersebut adalah rawatan perubatan percuma di klinik panel PERKESO atau klinik dan hospital Kerajaan menerusi Faedah Perubatan. Selain itu, mereka yang diberi cuti sakit yang disahkan oleh doktor akan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit mereka.

Jika terdapat mangsa yang disahkan mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan hilang upaya kekal akibat kemalangan tersebut, mereka akan dibantu dengan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) dan Kemudahan Pemulihan Jasmani iaitu bekalan alat-alat prostetik, ortotik dan ortopedik seperti kaki dan tangan palsu, kerusi roda, tongkat dan kasut khas

“Mengambil kira keadaan mangsa yang cedera dan mungkin sedang menjalani rawatan, saya menyeru majikan ataupun ahli keluarga mangsa supaya segera mengemukakan tuntutan permohonan faedah di mana-mana pejabat PERKESO yang berdekatan. “

“KSM dan PERKESO komited untuk memproses tuntutan faedah daripada mangsamangsa kemalangan terbabit dan memastikan segala bantuan disalurkan dengan kadar segera. Untuk sebarang urusan dan pertanyaan lanjut, sila hubungi nombor careline PERKESO di 1-300-22-8000 atau e-melkan kepada perkeso@perkeso.gov.my.”

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa kemalangan ini dan berharap agar semua mangsa segera pulih daripada kecederaan yang dialami,” ujar Saravanan.

https://www.thesentral.my/2021/05/26/kementerian-sumber-manusia-komited-bantu-mangsa-traged-lrt-saravanan/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment