Mi-Voice MIC News

Presiden MIC nafi arah pukul individu hina dirinya, timbalan

Presiden MIC, A Vigneswaran menafikan telah mengarahkan pihak tertentu memukul individu yang telah mengeluarkan kata- kata kesat terhadapnya.

Dalam satu laporan polis yang dibuat bekas speaker Dewan Negara itu mendakwa individu yang mengeluarkan kenyataan kesat terhadapnya itu telah pun memohon maaf kepadanya.

Menurut laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Vigneswaran menyatakan terkejut dengan penularan video lelaki itu dipukul sekumpulan lelaki yang turut memetik namanya dan nama Timbalan Presiden MIC S Saravanan.

“Saya ingin mengatakan orang yang kena pukul adalah seorang yang saya kenal dan dia telah memohon maaf kepada saya dan YB Dato Seri Saravanan empat hari yang lalu diatas kata-kata kesat tersebut.

“Namun beliau telah dipukul dalam video ini dengan menggunakan nama saya dan Dato Seri S Saravanan seolah-olah memberi gambaran bahawa dia dipukul atas arahan kami.

“Saya ingin menafikan bahawa pihak kami ataupun parti MIC terlibat dalam sebarang insiden dan meminta pihak PDRM menyiasat insiden ini dengan kadar segera,” katanya dalam laporan polis berkenaan.

Laporan terbabit dibuat presiden MIC itu di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, semalam.

Terdahulu tular satu rakaman video di mana seorang lelaki dipukul oleh sekumpulan individu kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap presiden dan timbalan presiden MIC itu.

https://m.malaysiakini.com/news/575394