MIC Women

WANITA MIC MENGGESA KOMUNITI PERJIRANAN PEKA KEPADA TANDA – TANDA PENDERAAN KANAK – KANAK

1 Feb 2021, Kuala Lumpur: Wanita MIC mengutuk perbuatan kejam pasangan ibu kandung dan ayah tiri seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai didera dan didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Melaka.

Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Puan S. J. Usha Nandhini berkata “tidak masuk akal apakah kesalahan kanak – kanak berumur hanya 7 tahun itu, selain mengharapkan kasih sayang dari ibunya. Alangkah sedihnya kanak – kanak itu terpaksa melalui kesengsaraan dan keseksaan, sedangkan salah seorang yang didakwa adalah ibu kandung kanak-kanak itu sendiri”.

Puan Usha. menggesa pihak berkuasa PDRM mengambil tindakan segera ke atas pelaku yang tidak berperikemanusiaan itu dan dihadapkan ke muka pengadilan. Beliau berharap agar siasatan kes penderaan itu dipercepatkan dan pelaku penderaan kejam itu menerima hukuman yang setimpal.

“Nampaknya kes penderaan kanak – kanak tidak pernah reda, malah semakin hari semakin kejam dan memilukan” kata Ketua Wanita MIC Kebangsaan itu. “Paling menyedihkan apabila pendera itu adalah ibu atau bapa kandung kanak – kanak itu sendiri. Keluarga yang sepatutnya menjadi tempat berlindung dan syurga bagi kanak-kanak, tetapi sebaliknya yang berlaku”, tambah Puan Usha.

Puan Usha turut rasa bimbang dengan peningkatan kes – kes kemurungan terutama sekali dikalangan kaum wanita, berdasarkan laporan KKM 2020. “Wanita memainkan peranan penting dalam hal penjagaan anak – anak, namun sekiranya masalah kemurungan ini tidak ditanggani, ia mampu mengakibatkan kesan yang buruk terutama ke atas anak – anak di bawah jagaan mereka”, risau Puan Usha. Beliau juga faham bahawa kebanyakan kes penderaan kanak – kanak berpunca dari masalah kemelut rumah tangga, perceraian, dendam terhadap pasangan dan kehadiran orang ketiga serta anak bukan biologi. Kesan pandemik juga kemungkinan turut menyumbang kepada masalah sosial keluarga, kata beliau.

Justeru itu, Puan Usha menggesa komuniti setempat agar peka kepada persekitaran perjiranan dan tidak berdiam diri jika melihat ada tanda penderaan ke atas kanak-kanak. “Sudah tiba masanya kita menjadi masyarakat prihatin dalam membantu kanak-kanak mangsa dera di kawasan masing-masing. Kita perlu jadi mata dan telinga untuk pihak berkuasa dengan membantu menangani masalah penderaan kanak – kanak”, seru Puan Usha. Beliau menasihatkan bahawa sekiranya kita berasakan ada sesuatu yang janggal dengan jiran sebelah dan kerap mendengar pekikan marah serta suara tangisan kanak-kanak yang berterusan, cuba ambil tahu dan bertanya. Jika jawapan diterima masih meragukan, kita perlu melaporkan kepada pihak berkuasa.

Penduduk boleh menghubungi Talian Kasih 15999, laporkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat, Balai Polis berhampiran, ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan boleh merujuk terus ke hospital terdekat.

Puan Usha menyarankan agar persatuan – persatuan sukarelawan wanita mengambil peranan untuk mengadakan program masyarakat prihatin berkaitan penderaaan kanak – kanak. Persatuan Penduduk khususnya, harus meningkatkan pelbagai program kekeluargaan dan kesedaran persekitaran supaya membantu mengenali satu sama lain dalam kawasan kejiranan mereka. Sudut pandang pelbagai pihak diperlukan bagi mengatasi kes penderaan kanak-kanak daripada terus meningkat, cadang Puan Usha.

KOMUNITI PERJIRANAN DIGESA PEKA KEPADA TANDA – TANDA PENDERAAN KANAK – KANAK- WANITA MIC

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment