Mi-Voice MIC News

Sinaran cahaya Deepavali akan terus menjana iltizam rakyat Malaysia memerangi Covid-19, yakin Naib Presiden MIC

KUALA LUMPUR, Nov 13: Naib Presiden MIC Kebangsaan, Dato’ T. Murugiah melahirkan keyakinan bahawa sinaran cahaya Deepavali akan terus menjana iltizam rakyat Malaysia di dalam memerangi Covid-19.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia, khasnya mereka yang beragama Hindu. Sambutan Deepavali merupakan satu lagi simbol keharmonian negara tercinta kita Malaysia, mencerminkan keunikan dan kepelbagaian warisan kebudayaan masyarakat multi etnik.”

“Malaysia yang terdiri daripada bangsa yang berbilang kaum, sudah semestinya kita bertuah kerana dapat bersama-sama berkongsi dan menikmati bersama lebih daripada satu perayaan besar dalam setahun dengan penuh keharmonian dan keceriaan. Namun, tahun 2020 menampilkan cabaran yang baru, yang amat genting di dalam bentuk penularan pandemik Covid-19 di peringkat global, memberi impak yang amat besar kepada negara dan rakyat,” kata Murugiah di dalam perutusan beliau.

“Hari Deepavali atau pesta cahaya adalah sambutan tanda kemenangan kuasa baik yang mengatasi anasir negatif. Jika diterjemahkan dalam konteks situasi semasa negara mahupun global, semestinya kita mengharapkan kejayaan di dalam memerangi Covid-19 dan segala impak negatifnya di dalam masa terdekat. Kita menaruh keyakinan penuh bahawa vaksin serta teknologi perubatan dapat menghentikan musibah pandemik demi kesejahteraan sejagat.”

“Sesungguhnya negara dan rakyat kita amat terkesan dan terkekang sejak penularan pandemik Covid-19 serta langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diimplementasikan kerajaan. Pelbagai inisiatif dan insentif terus dilaksanakan demi menjamin kelangsungan ekonomi negara dan kehidupan rakyat. Bak kata peribahasa Melayu “Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Muafakat”, hanya permuafakatan dan kerjasama merentasi bangsa, agama dan fahaman politik berterusan antara kita akan menjadi tunjang kejayaan di dalam mengatasi cabaran Covid-19.”

“Sambutan Deepavali tahun ini memang berbeza dari tahun-tahun sebelum ini dengan SOP sambutan serta PKP Bersyarat yang masih berkuatkuasa. Saya menyaran masyarakat agar mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri, patuhilah SOP, sambutlah dengan penuh kesederhanaan bersama anggota keluarga tersayang di rumah masing-masing.Tak usah bertandang ke sana, ke sini. Kita masih boleh menyambut Deepavali pada tahun hadapan,” tambah Murugiah lagi.

“Apa yang penting, hayatilah hikmat perayaan Deepavali dan terapkan sikap-sikap positif dan membina. Semoga sinaran cahaya Deepavali akan terus menjana iltizam rakyat Malaysia mengharungi cabaran dan mencapai kecemerlangan di dalam segenap bidang. Selamat Hari Deepavali!” ucap Murugiah.

Sinaran cahaya Deepavali akan terus menjana iltizam rakyat Malaysia memerangi Covid-19, yakin Naib Presiden MIC

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment