Mi-Voice MIC News

Bajet 2021 remedi pemulihan dan kebangkitan negara, yakin Dato’ T. Murugiah

KUALA LUMPUR, Nov 5: Naib Presiden MIC, Dato’ T. Murugiah hari ini melahirkan keyakinan beliau bahawa Bajet 2021 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat esok, 6 November, mampu menjana kebangkitan negara daripada krisis ekonomi yang wujud akibat impak penularan pandemik Covid-19 di peringkat global.

“Harapan rakyat tinggi menggunung bahawa Bajet 2021 adalah remedi bagi pemulihan ekonomi negara yang akan memastikan kesejahteraan rakyat. Makin ketara kesengsaraan rakyat yang amat terkesan akibat impak ekonomi berikutan penularan Covid-19 serta ketidakstabilan kerajaan persekutuan. Namun, adalah menjadi aspirasi rakyat bahawa semua pihak dapat menjunjung titah Yang Di Pertuan Agong yang menzahirkan harapan Bajet 2021 akan dilaksanakan secara konsensus dengan mengenepikan budaya politiking tatkala negara berhadapan cabaran genting ketika ini,” kata Murugiah di dalam kenyataan media beliau.

“Pendekatan kerajaan yang mengadakan konsultasi bersama pelbagai pihak, termasuk pembangkang di dalam merangka Bajet 2021 adalah langkah positif yang mencerminkan kematangan politik yang amat diperlukan pada saat ini. Ianya membuktikan Malaysia mampu berhadapan dengan apa jua cabaran jika kesejahteraan negara dan rakyat diutamakan, kepentingan politik diketepikan,” tambah Murugiah lagi.

Mengulas lanjut, Murugiah berharap bahawa langkah-langkah R&D, kemudahan rawatan, infrastruktur perubatan serta pembekalan vaksin percuma Covid-19 diberi keutamaan peruntukan di bawah Bajet 2021 kerana pemulihan negara amat bergantung kepada kebolehan barisan hadapan menangkis penularan pandemik tersebut.

“Bajet 2021 juga harus mengutamakan penciptaan pekerjaan dan pemacu perkembangan pendapatan, memandangkan kadar pegangguran yang makin meningkat dan pemberhentian tenaga kerja yang makin berleluasa. Inisiatif dan insentif khas bagi merancakkan sektor pelancongan dalam negeri oleh rakyat tempatan amat diperlukan demi kelangsungan sektor pelancongan – termasuk perhotelan, pengangkutan, F&B dan sebagainya kerana sudah pasti ianya akan memakan masa bagi industri pelancongan global kembali aktif.”

“Kerajaan juga wajib memastikan kesinambungan bidang pendidikan, dari peringkat pra sekolah hinggalah pengajian tinggi, memastikan proses pembelajaran secara maya yang berkesan dengan akses kepada semua. Bantuan persekolahan dan pengajian tinggi secara ad-hoc juga sudah pasti membantu golongan pelajar ketika saat memerlukan sebegini.”

“Projek-projek mega perlu ditangguhkah dan dana bagi tujuan tersebut digunakan demi meringankan bebanan rakyat. Harap kerajaan juga mempertimbangkan cadangan kebenaran pengeluaran terhad simpanan dari akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ternyata permintaan majoriti rakyat yang menghadapi tekanan kewangan.”

“Saya juga berharap Bantuan Prihatin Negara (BPN), Geran Khas Prihatin (GKP) dan lain-lain insentif rakyat di bawah Skim PRIHATIN dan PENJANA diperbaiki dan disalurkan semula kepada rakyat. Lanjutkan tempoh moratorium pinjaman sehingga enam bulan pertama 2021 bagi membolehkan peminjam merancang dan menyusun pengurusan kewangan mereka dengan berkesan,” kata Murugiah lagi.

Beliau turut melahirkan harapan bahawa inisiatif khas bagi pembangunan sosio ekonomi kaum India turut diberi fokus di dalam Bajet 2021.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Menteri Perpaduan Datuk Halimah Sadique bahawa peruntukan khas lebihan telah dipohon bagi merealisasikan agenda pembangunan sosio ekonomi kaum India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA). Semoga matlamat perlaksanaan segala program MITRA demi memastikan kaum India tidak terpinggir dari arus pembangunan negara,” ulas Murugiah.

https://www.thesentral.my/2020/11/05/bajet-2021-remedi-pemulihan-dan-kebangkitan-negara-yakin-dato-t-murugiah/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment