Mi-Voice MIC News

Kembalikan peruntukan khas sekolah vernakular – Pemimpin MIC

Tidak puas hati dengan pembentangan Belanjawan 2021 yang didakwa meminggirkan sekolah vernakular, seorang pemimpin MIC menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera mengumumkan peruntukan khas kepada sekolah vernakular.

Pengerusi MIC Kedah S Ananthan berkata ini untuk mengelakkan kekeliruan dalam mengagihkan peruntukan RM800 juta yang diumumkan kepada semua sekolah.

“Sejak zaman Datuk Seri Najib (Abdul Razak), tiap-tiap bajet peruntukan khas diumumkan kepada sekolah vernakular. Ini satu amalan diteruskan ketika Kerajaan PH.

“Tapi, belanjawan semalam dilihat tiada peruntukan khas, walaupun menterinya mengumumkan RM800 juta untuk semua sekolah. Ini perlu diselesaikan untuk mengelakkan kekeliruan.

“Kami MIC menggesa kerajaan PN, agar segera mengumumkan peruntukan khas kepada sekolah vernakular,” katanya kepada Malaysiakini.

Demikian katanya, ketika mengulas ucapan Belanjawan 2021 semalam oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang tidak membuat sebarang peruntukan secara khususnya kepada sekolah vernakular.

Ananthan yang juga ahli Dewan Negara berkata dengan adanya peruntukan khas, maka mudah untuk pemimpin komuniti mengagihkan peruntukan tersebut.

“Jika tidak, ia akan mengundang satu keadaan yang tidak selesa kerana mungkin sekolah yang ditolak permohonan peruntukan rasa seperti sengaja dipinggirkan.

“Sebagai contoh, pada Belanjawan 2018, Najib memperuntukan RM550 juta untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah.

“Ianya, diagihkan kepada Sekolah Kebangsaan RM250 juta, Sekolah Jenis Cina (RM50 juta), Sekolah Jenis Tamil (RM50 juta), Sekolah Mubaligh (RM50 juta), Sekolah Berasrama Penuh (RM50 juta), Maktab Rendah Sains Mara (RM50 juta) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (RM50 juta).

“Maka, senang untuk semua sekolah mengagihkan peruntukan masing-masing,” katanya.

Tambahnya, tindakan kerajaan tidak mengumumkan peruntukan khas akan menjadi satu keputusan tidak populis.

Untuk rekod, kerajaan semalam mengumumkan bahawa sebanyak RM800 juta disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Peruntukan ini juga termasuk kerja-kerja menaik taraf dan membina dewan terbuka atau struktur berbumbung bagi menyediakan tempat berhimpun yang selesa dan selamat di sekolah-sekolah kerajaan.

Selain itu, kos tambahan sebanyak RM725 juta akan diperuntukan bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 50 buah sekolah-sekolah daif.

Zafrul dalam pembentangan Belanjawan 2021 berkata kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah.

https://m.malaysiakini.com/news/549901

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment