Mi-Voice MIC News

Mengapa tiada peruntukan sekolah Tamil seperti selalu? – MIC

KUALA LUMPUR – Pembentangan Belanjawan 2021 semalam merupakan antara yang terpenting di dalam sejarah negara semenjak merdeka lagi-lagi ketika sedang menghadapi pelbagai krisis.

Ini kerana inti pati kandungan 108 muka surat belanjawan itu menjadi sandaran untuk memulihkan ekonomi negara paska pandemik Covid-19 ini.

Rata-rata rakyat Malaysia dilihat menzahirkan rasa lega dan bersyukur dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam.

MIC mengambil kesempatan ini untuk turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinet Perikatan Nasional (PN) untuk peruntukan RM100 juta kepada kaum India melalui Unit Transformasi India Malaysia (MITRA).

Namun pada masa, Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, Datuk V. Gunalan melahirkan rasa kecewanya apabila tidak ada sebarang peruntukan untuk sekolah Tamil seperti kebiasaan.

Kata Gunalan yang juga merupakan Yang Dipertua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ampar Tenang Dengkil, Sepang, peruntukan tersebut turut dinantikan kerana ia penting bagi pembangunan dan pendidikan kaum ketiga terbesar ini.

“Kami ingin memohon agar peruntukkan untuk sekolah Tamil turut diberi pertimbangan oleh Menteri Kewangan sebelum bajet dibahaskan minggu depan.

“Walaupun asas utama belanjawan ini adalah untuk memulihkan ekonomi, faktor pendidikan terutamanya yang melibatkan sekolah Tamil harus diberikan perhatian sewajarnya.

“Sebelum dilanda pandemik pun mutu pendidikan dan infrastruktur sekolah Tamil dianggqp tidak setaraf dengan aliran pendildikan negara kita secara am.

“Itu adalah antara faktor sebuah blue print khas terpaksa diwujudkan untuk menaik taraf kualiti pendidikan sekolah Tamil sebelum ini.

“Maka untuk mengetepikan peruntukan untuk sekolah tatkala dilanda pandemik Covid-19 adalah satu keputusan tidak wajar, kami kecewa dan secara umumnya ramai dalam kalangan masyarakat India kecewa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam kerajaan mengumumkan sebanyak RM100 juta untuk masyarakat India yang akan disalurkan kepada Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) bagi pembangunan dan pemerkasaan komuniti India di negara ini.

Sebelum ini pula dalam Belanjawan 2020, sekolah Tamil telah diberikan peruntukan penyelengaraan dan menaik taraf sekolah daripada RM652 juta seperti yang di umumkan dalam Belanjawan 2019 kepada RM735 juta pada 2020.

Kata Gunalan, sekiranya diketepikan pelajar India yang terlibat di dalam arus pendidikan sekolah Tamil hari ini akan terus terpinggir jauh daripada dinamik masyarakat Malaysia biasa.

“Malah untuk mengaturkan peruntukan kepada sekolah Tamil ini sebenarnya Kementerian Kewangan tidak perlu menambahkan nilai bajet yang sudah pun direkodkan sebagai yang terbesar di dalam sejarah.

“Mereka cuma perlu menggunakan peruntukkan yang sudah pun diagihkan di bawah bahagian perbelanjaan lain lain yang bernilai RM 2 billion,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Mengapa tiada peruntukan sekolah Tamil seperti selalu? – MIC