Mi-Voice MIC News

Isu pemberhentian pekerja Malindo Air, Menteri Sumber Manusia jamin kebajikan pekerja terkesan akan disantuni

PUTRAJAYA, Nov 4: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini memberi jaminan bahawa kebajikan lebih 2000 pekerja Malindo Air yang ditamatkan perkhidmatan mereka mulai November 1 yang lepas akan disantuni oleh kementeriannya.

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) amat memahami dan prihatin permasalahan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja industri penerbangan di negara ini. Sektor penerbangan merupakan antara sektor yang paling terjejas sehingga kini disebabkan kekangan pergerakan penumpang dan juga pelancong dari dalam dan  luar negara akibat penularan pandemik Covid-19. Pemulihan sektor ini dijangka mengambil masa yang lama sehingga 2023 sehingga memaksa majikan dalam  industri penerbangan mengambil keputusan untuk melepaskan pekerja bagi mengelakkan syarikat menanggung kerugian berterusan termasuklah Malindo Airways.”

“KSM melalui jabatan dan agensi, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP),  Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Malindo Airways semalam bagi memastikan hak-hak pekerja yang terjejas dilindungi dan diberikan bantuan yang sewajarnya.”

“Selain daripada pampasan yang disediakan oleh majikan, KSM juga akan memastikan semua kakitangan syarikat penerbangan tersebut menerima faedah kehilangan pekerjaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP). Pada masa yang sama, PERKESO akan membantu mereka dalam carian pekerjaan melalui portal MYFutureJobs,” kata Saravanan di dalam kenyataan media beliau sebentar tadi.

Malindo Airways telah melaksanakan pemberhentian pekerja melibatkan 2,647 orang sejak 1 November 2020. Pihak majikan juga menawarkan notis cuti tanpa gaji untuk tempoh satu tahun kepada 439 kakitangan dengan harapan ekonomi kembali pulih dan mereka akan dipanggil bekerja semula. Seramai 347 lagi telah ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), manakala baki 1,861 pekerja diberi notis pemberhentian kerja dengan pampasan minimum di bawah Akta Kerja 1955

“Kakitangan Malindo Airways juga layak untuk mengikuti program latihan (reskilling, upskilling) yang disediakan oleh PERKESO atau Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), di mana yuran latihan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan.”

“Saya menyeru para pekerja yang terlibat dengan pemberhentian kerja dinasihatkan supaya segera mengemukakan permohonan faedah SIP secara dalam talian melalui eis.perkeso.gov.my atau hadir di mana-mana pejabat PERKESO yang berhampiran,” tambah Saravanan lagi.

Pengurusan Malindo sebelum ini telah menerima bantuan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) untuk dua bulan berjumlah RM 2.74 juta yang telah disalurkan kepada pekerja yang terlibat. Malindo Airways telah menerima bayaran Program Subsidi Upah (PSU) berjumlah RM240,000.00 untuk 200 orang pekerja. PSU adalah inisiatif Kerajaan untuk meringankan beban majikan dari segi kos operasi dan secara tidak langsung, mengelakkan pekerja daripada hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

“Bagi 439 kakitangan Malindo Airways yang menerima notis cuti tanpa gaji untuk tempoh 1 tahun, mereka boleh menganggap bahawa kontrak perkhidmatan mereka telah terputus dan seterusnya mengemukakan tuntutan kehilangan pekerjaan di bawah SIP, supaya mereka mendapat bantuan untuk kelangsungan hidup sementara mendapat pekerjaan baharu,” nasihat Saravanan kepada pekerja yang terkesan.

Isu pemberhentian pekerja Malindo Air, Menteri Sumber Manusia jamin kebajikan pekerja terkesan akan disantuni