MIC Youth

Cikgu Sam ikon inspirasi rakyat Malaysia – Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan

KUALA LUMPUR, Okt 30: Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, Thinalan Rajagopalu hari ini melahirkan rasa kebanggaan beliau terhadap kejayaan Cikgu Samuel Isaiah yang tersenarai dalam 10 finalis terbaik bagi menerima anugerah Hadiah Guru Global 2020.

“Tahniah Cikgu Sam! Sesungguhnya anda adalah ikon inspirasi buat rakyat Malaysia semua. Dedikasi dan kegigihan Cikgu Sam di dalam mendidik anak murid orang asli dengan penuh kreativiti dan menjana minat mereka bagi menguasai Bahasa Inggeris memang menakjubkan. Pencalonan sebagai finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 adalah satu pengiktirafan bagi guru-guru Malaysia secara menyeluruh,” kata Thinalan di dalam kenyataan media beliau.

Menurut kenyataan penganjur Yayasan Varkey di London, Samuel yang lebih mesra dipanggil Cikgu Sam dipilih daripada 12,000 pencalonan daripada lebih 140 negara. Anugerah yang menawarkan hadiah AS$1 juta (RM4.16 juta) itu merupakan program pengiktirafan guru dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Cikgu Sam sebelum ini pernah dinobatkan sebagai penerima anugerah Guru Adiwira 2019.

“Aspirasi Cikgu Sam di dalam menyantuni anak murid orang asli dan memperkasakan mereka melalui penguasaan pendidikan amat dihargai. Beliau membuktikan seseorang guru itu mampu mengubah hala tuju dan masa hadapan masyarakat. Cikgu Sam berjaya menyuntik inspirasi di kalangan anak muridnya melalui pendekatan inovatif dan kreatif beliau, membina impian dan ruang bagi mereka mengejar kecemerlangan.”

“Terpilih atau tidak sebagai juara Anugerah Hadiah Guru Global 2020, Cikgu Sam sudahpun bertakhta di hati rakyat Malaysia. Sama-samalah kita mendoakan kejayaan Cikgu Sam yang akan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Khidmat bakti kaum pendidik di dalam membina generasi berilmu kita hargai dna sanjungi,” kata Thinalan lagi.

“Pendekatan kreatif Cikgu Sam, seperti projek pertukaran e-mel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal’ yang membolehkan murid-murid berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dari dalam dan luar negara, dan program ‘Speak Up With Poetry’ (Bersuara dengan Puisi) iaitu sebuah projek kerjasama beliau dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan orang asli dan kemudiannya murid-murid boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris serta konsep ‘sekolah pokok’ yang diperkenalkan beliau, segalanya mencerminkan kesungguhan dan komitmen beliau di dalam memartabatkan bidang pendidikan yang dijulang beliau.”

Cikgu Sam ikon inspirasi rakyat Malaysia – Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan