Mi-Voice MIC News

COVID-19: Subsidi kepada majikan saring pekerja

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersetuju untuk memberikan subsidi kepada majikan yang menjalankan ujian saringan COVID-19 pada pekerja mereka.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata subsidi berjumlah RM200 juta itu diluluskan oleh PERKESO bagi ujian saringan COVID-19 yang dilakukan di bawah Program Saringan Prihatin (PSP).

Jelasnya, majikan boleh membuat tuntutan subsidi sebanyak RM150 bagi setiap saringan yang dijalankan ke atas pekerja mereka yang mencarum dengan PERKESO.https://be0f3e1aa5be2462ee41509cfcd95b28.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-37/html/container.html

“Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya bersetuju supaya skop PSP PERKESO diperluaskan dengan menambah bilangan penyedia perkhidmatan saringan COVID-19.

“Majikan boleh menghantar pekerja mereka menjalani saringan di mana-mana klinik atau hospital yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Di bawah program subsidi ini, pekerja asing dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Selangor dan Kuala Lumpur akan diberi keutamaan untuk menjalani ujian saringan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saravanan berkata, keutamaan kepada pekerja asing dalam sektor pembinaan dan kawalan keselamatan itu selaras matlamat kerajaan untuk menjalankan saringan COVID-19 secara bersasar.

“Bagi pekerja yang tidak termasuk dalam golongan sasar itu, kos saringan perlu ditanggung oleh majikan sebagai kesinambungan kepada usaha pencegahan jangkitan COVID-19 di kalangan semua pekerja di negara ini,” katanya yang memaklumkan prosedur program subsidi itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Maklumat lanjut berkenaan pengoperasian terkini PSP PERKESO akan dimaklumkan melalui Portal Prihatin (https://prihatin.perkeso.gov.my) yang disediakan oleh PERKESO.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/694712/covid-19-subsidi-kepada-majikan-saring-pekerja

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment