Mi-Voice MIC News

Pemimpin MIC: Sambutlah Tahun Baru Chitthirai, Vishu dan Vaisakhi bersama keluarga tersayang, tabahlah mengharungi cabaran Covid-19

KUALA LUMPUR, Apr 14: Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dan timbalannya Datuk Seri M. Saravanan hari ini di dalam perutusan ucapan Tahun Baru Chittirai, Vishu dan Vaisakhi meminta masyarakat Malaysia bagi menyambut perayaan tersebut dengan penuh kesederhanaan bersama keluarga tersayang dan menyeru mereka bersikap tabah dan cekal di dalam mengharungi cabaran Covid-19.

Perayaan Vaisakhi disambut oleh etnik Sikh pada semalam, Chitthirai oleh etnik Tamil hari ini dan Vishu pula oleh etnik Malayaalam pada hari esok.

“Negara kini berhadapan dengan cabaran dan dugaan penularan wabak Covid-19. Kita perlulah bersatu dan bekerjasama di dalam membendung wabak tersebut. Patuhilah Perintah Kawalan Pergerakan, duduk di rumah dan pastikan kebersihan diri sentiasa terjaga. Segala tindakan kerajaan adalah demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.”

”Kebiasaannya kita akan menyambut tahun baru dengan berkunjung ke tempat ibadat, berdoa demi masa hadapan yang cerah buat semua. Biarlah sambutan tahun ini sederhana bersama keluarga tersayang di rumah, tetapi tetap dengan harapan dan keyakinan bahawa kita pasti akan menang!” kata Tan Sri SA Vigneswaran yang juga merupakan Yang Di Pertua Dewan Negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan di dalam perutusannya berharap sambutan Tahun Baru Chitthirai, Vishu dan Vaisakhi akan menjana semangat dan kecekalan masyarakat bagi memerangi wabak Covid-19 dan segala cabaran yang wujud sebagai implikasinya.

“Marilah kita mengambil ikhtibar bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan sebagai teras sambutan Tahun Baru kali ini. Sama-samalah kita bersyukur dan mendoakan yang terbaik buat negara dan rakyat kita,” kata Datuk Seri M. Saravanan. – The Sentral

Pemimpin MIC: Sambutlah Tahun Baru Chitthirai, Vishu dan Vaisakhi bersama keluarga tersayang, tabahlah mengharungi cabaran Covid-19