Mi-Voice MIC News

Kebenaran khas bagi pihak swasta urus bayaran gaji pada 31 Mac atau 1 April – Kementerian Sumber Manusia

PUTRAJAYA, Mac 30: Kementerian Sumber Manusia hari ini menggariskan prosedur bagi sektor swasta menguruskan proses pembayaran gaji kepada pekerja mereka ketika tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sehingga 14 April 2020.

“Bagi memastikan pembayaran gaji pekerja sektor swasta dapat dibayar mengikut ketetapan undang-undang, Kerajaan telah memutuskan bahawa kakitangan bahagian kewangan dan sumber manusia (HR) dibenarkan untuk hadir ke tempat kerja untuk menjalankan urusan kerja yang spesifik iaitu menyelaras dan memproses payroll bagi tujuan pembayaran gaji pekerja iaitu bagi tempoh satu hari sahaja sama ada pada 31 Mac 2020 atau 1 April 2020, jumlah maksimum dibenarkan adalah 2 orang sahaja,” menurut kenyataan rasmi Kementerian Sumber Manusia.

“Majikan diminta untuk menyediakan dokumen pelepasan dan kebenaran untuk ke tempat kerja yang melibatkan kakitangan kewangan serta sumber manusia dengan menyenaraikan nama penuh, nombor kad pengenalan pekerja yang terlibat serta butiran majikan atau pegawai untuk dihubungi bagi tujuan pengesahan.”

Kementerian Sumber Manusia turut menyaran pekerja terbabit agar membawa dan mengemukakan dokumen tersebut bagi memudahkan pergerakan mereka ke tempat kerja sekiranya diminta oleh pihak berkuasa.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan sebelum ini telah menegaskan pihak majikan perlu membayar gaji penuh kepada pekerja mereka sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. – The Sentral

https://www.thesentral.my/2020/03/30/kebenaran-khas-bagi-pihak-swasta-urus-bayaran-gaji-pada-31-mac-atau-1-april-kementerian-sumber-manusia/