Mi-Voice MIC News

Keluarga dua mangsa korban Covid-19 layak terima faedah PERKESO – Datuk Seri M. Saravanan

KUALA LUMPUR, Mac 24: Keluarga dua mangsa wabak COVID-19 yang meninggal dunia layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata korban ketiga dan ketujuh virus itu memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan PERKESO.

“Korban ketiga COVID-19 yang juga bekas pekerja Sabah Port Sdn Bhd memenuhi syarat kelayakan. Jenazah lelaki berusia 58 tahun itu dikebumikan di Tawau, Sabah pada kira-kira jam 10 malam, Jumaat lalu. Kementerian bagaimanapun dimaklumkan bahawa semua ahli keluarga mangsa sedang dalam kuarantin.”

“Korban ketujuh pula berusia 57 tahun, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu lalu juga layak menerima faedah PERKESO di bawah skim sama.”

“Pihak PERKESO berjaya menghubungi waris mangsa tetapi mereka masih belum bersedia untuk berkongsi maklumat lanjut.”

“Maklumat awal yang diperoleh adalah mangsa meninggalkan seorang balu dan semua anaknya berusia lebih 21 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, waris bagi kedua-dua mangsa layak menerima faedah pengurusan mayat dan bayaran bulanan Pencen Penakat manakala penyerahan faedah akan hanya dilakukan selepas tamat tempoh kuarantin dan selepas ahli keluarga bersedia.

Beliau berkata, buat masa ini kementeriannya sedang menyemak semua rekod korban COVID-19 bagi mengesan sama ada layak menerima faedah PERKESO atau sebaliknya.

“Saya juga mengarahkan PERKESO supaya bersedia menyemak rekod mangsa COVID-19 bagi kelayakan Faedah PERKESO dari semasa ke semasa dan menyampaikan faedah seberapa segera kepada yang layak supaya kebajikan keluarga dan tanggungan mereka terbela berikutan musibah ini,” katanya.

https://www.thesentral.my/2020/03/24/keluarga-dua-mangsa-korban-covid-19-layak-terima-faedah-perkeso-datuk-seri-m-saravanan/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment