MIC News MIC Youth

PEMUDA MIC: KENYATAAN MEDIA BERHUBUNG KEPUTUSAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MENGHARAMKAN PENYERTAAN WARGA ISLAM DALAM SAMBUTAN PERAYAAN PONGAL

Berhubung satu surat pekeliling dari Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia bertarikh 13 Januari 2020 yang memaklumkan keputusan Kementerian Pendidikan mengharamkan penyertaan warga Kementerian Pendidikan Malaysia (Kakitangan / Pelajar) beragama Islam dalam Sambutan Perayaan Ponggal, saya ingin menyatakan beberapa perkara seperti yang berikut :

  1. Kementerian Pendidikan seharusnya menarik balik keputusan ini dengan kadar segera dan memohon maaf secara terbuka. Sambutan Perayaan Ponggal tidaklah bersifat keagamaan seperti yang dinyatakan. Sambutan Perayaan Ponggal oleh Masyarakat India di Malaysia sebenarnya lebih menjurus kepada sambutan yang bersifat tradisi dan kebudayaan.
  2. Keputusan pengharaman penyertaan warga Kementerian Pendidikan Malaysia yang beragama Islam dalam Sambutan Perayaan Ponggal memberikan mesej yang salah kepada umum. Sambutan Perayaan Ponggal di peringkat awam seperti yang dianjurkan oleh pelbagai institusi awam adalah berdasarkan adaptasi sambutan tersebut berdasarkan kesesuaian kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Malaysia.
  3. Disebabkan itu jika kita teliti, ramai pemimpin kanan dari pelbagai latar belakang agama dan kaum sebelum ini seperti YB Dato Sri Najib Tun Abdul Razak selaku mantan Perdana Menteri Malaysia telah menghadiri malah merasmikan Sambutan Perayaan Ponggal yang diadakan oleh pelbagai pihak sebelum ini.
  4. Saya yakin penyertaan beliau mahupun mana-mana individu dari pelbagai kaum dan agama berbeza selama 60 lebih tahun dalam meraihkan perayaan ini tidak sama sekali menjejaskan pegangan agama mereka malah hanya membantu membina kesefahaman dan kesatuan yang lebih utuh dalam sebuah masyarakat majmuk
  5. Perkara sebegini tidak pernah terjadi ketika pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional. Peliknya Menteri Perpaduan dan Integrasi Nasional, YB P. Waythamoorthy masih berdiam tanpa mengambil sebarang inisiatif untuk menjelaskan perkara yang sebenar. Lebih lagi 3 Menteri mewakili kaum India juga masih tidak bersuara mahupun menjelaskan perkara ini kepada Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Pendidikan.
  6. Sambutan seperti Perayaan Ponggal dan malah Hari Gawai yang menjurus untuk membawa mesej-mesej bersifat universal seperti penghargaan terhadapi alam dan para petani yang berusaha keras untuk menjamin bekalan makanan kita patutnya dijadikan peluang untuk kita bersama – sama meraihkannya agar kita dapat terus menyumbang kepada proses integrasi nasional yang lebih utuh.
  7. Justeru, pihak kementerian seharusnya menarik balik pekeliling ini dengan kadar segera dan memohon maaf secara terbuka. Kementerian Pendidikan seharusnya menjadi platform pembinaan perpaduan yang paling efisyen dan bukannya menjadi medium yang membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mewujudkan salah tanggapan dan perpecahan.

Sekian.

PUNITHAN PARAMSIVEN
AHLI JAWATANKUASA KERJA PUSAT MIC KEBANGSAAN

About the author

TheVoice

Add Comment

Click here to post a comment