Mi-Voice MIC News PRN Johor 2022

MIC cadang kemuka petisyen susulan kalah tipis DUN Bukit Batu

SUNGAI SIPUT: MIC berhasrat mengemukakan petisyen pilihan raya susulan kekalahan tipis calon parti itu yang mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran, berkata kekalahan tipis calon MIC, S Suppayah kepada calon PKR, Arthur Chiong Sen Sern dengan 133 undi, selain 650 bilangan undi rosak yang dilihat pihaknya sebagai agak tinggi, mewajarkan untuk perkara itu dirujuk ke mahkamah.

“Di Bukit Batu, kita kalah 133 undi, walaupun saya diberitahu ada 650 undi rosak. Justeru kita akan membuat bantahan (petisyen), rayuan kepada mahkamah supaya kita dapat pastikan pengiraan undi dibuat secara betul,” katanya kepada pemberita pada program penyerahan komputer riba kepada 32 pelajar kurang berkemampuan sekitar Sungai Siput, di sini hari ini.

Pada PRN semalam, Suppayah memperoleh 9,302 undi berbanding 9,417 undi yang diperolehi Sen Sern, menjadikan DUN Bukit Batu satu-satunya kerusi gagal dimenangi MIC yang bertanding empat DUN dan menang di Kemelah, Kahang serta Tenggaroh.

Dalam perkembangan lain, Vigneswaran berkata, kemenangan besar BN kelmarin sememangnya suatu kebanggaan dan dilihat sebagai pengiktirafan oleh rakyat Johor, yang jelas turut menunjukkan trend pengundian lebih terarah kepada dasar dibawa parti diwakili calon berbanding atas dasar peribadi calon sendiri.

“Saya juga berterima kasih kepada masyarakat Tongnam (Cina) kerana memberi sokongan dan undi kepada calon (MIC) yang bukan Cina. Ini menunjukkan mereka bukan sahaja memilih calon, tetapi lebih kepada parti yang memilih calon terbabit. Ini adalah sesuatu yang baik di mana calon BN memperoleh kepercayaan masyarakat pelbagai kaum.

“Paling penting bagi MIC adalah apa yang kita nyatakan beberapa tahun berturutan sebelum ini bahawa undi kaum India sudah balik ke pangkuan BN bukan lagi retorik. Kita sudah memastikannya di PRN Johor mahupun PRN Melaka sebelum ini,” katanya.

https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/03/933651/mic-cadang-kemuka-petisyen-susulan-kalah-tipis-dun-bukit-batu

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment