KUALA LUMPUR, Apr 6: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini berkata kementeriannya tetap optimis dan terus berusaha bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang memerlukan dan membantu mengurangkan kadar pengangguran.
“Meskipun kadar pengangguran meningkat semula kepada 4.7 peratus pada Oktober 2020, kami yakin pelbagai inisiatif yang dilaksanakan KSM bagi menangani masalah pengangguran akan membuahkan hasil,” kata Saravanan di dalam Majlis Pelancaran HRDF Placement Centre (HPC) di ibu negara hari ini.
HPC adalah portal sehenti di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) yang menyediakan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada rakyat Malaysia melalui pemadanan dan penempatan pekerjaan, latihan dan peningkatan, serta kaunseling dan bimbingan kerjaya.
Ia juga merupakan platform yang tepat bagi majikan mencari calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan dengan segera.
“Hari ini, Lebih 200 orang telah menerima surat tawaran pekerjaan dari kerjasama 26 syarikat yang telah berdaftar bersama HRDF Placement Centre.”
“Jangan jadikan pengangguran sebagai budaya dalam masyarakat kita. Teruslah memandang ke hadapan dan majukan diri dari mengkritik perkara yang tidak perlu,” kata Saravanan lagi.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Add Comment