Mi-Voice MIC News

Manfaatkan GPKS demi pembangunan kesatuan dan ahli, Saravanan saran kesatuan sekerja

PUTRAJAYA, Apr 5: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini menyaran kesatuan-kesatuan sekerja agar memanfaatkan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) demi pembangunan kesatuan dan ahlinya.

“Pagi ini saya telah menyerahkan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) kepada 36 kesatuan sekerja yang boleh dimanfaatkan untuk latihan dan pendidikan seperti pembelian komputer, pembangunan laman sesawang, dan penubuhan koperasi,” kata Saravanan selepas majlis penyampaian GPKS kepada kesatuan-kesatuan berkenaan.

GPKS merupakan satu bentuk bantuan kewangan Kerajaan kepada kesatuan sekerja yang berdaftar di Malaysia melalui Jabatan hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) dalam usaha memastikan perkembangan positif kesatuan-kesatuan sekerja seiring dengan aspirasi pembangunan negara.

Antara objektif GPKS ini adalah meningkatkan tahap kemahiran kepimpinan dan anggota kesatuan dalam skil berkesatuan melalui perkembangan pendidikan dan pembelajaran secara berterusan, serta menyediakan sumber kewangan bagi membolehkan platform pendidikan diadakan tanpa halangan kewangan.

“Geran ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat prihatin dan mengambil berat kebajikan setiap warganegara termasuk pekerja dan majikan. Justeru, saya menyeru agar kesatuan sekerja dapat menggunakan geran yang diberikan ini sebaiknya dan ahli-ahli kesatuan beroleh manfaat,” kata Saravanan lagi.

https://www.thesentral.my/2021/04/05/manfaatkan-gpks-demi-pembangunan-kesatuan-dan-ahli-saravanan-saran-kesatuan-sekerja/